Tempatan

Kes Pukul Ustaz Tahfiz, Lima Tertuduh Dipenjara 10 Bulan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA PILAH, 18 Ogos 2022 –  Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas lima orang tertuduh yang menceroboh dan membelasah seorang ustaz dan seorang pelajar di sebuah tahfiz di Kuala Lipis.

Majistret Siti Aisyah Ahmad menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM2,000 serta tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda kepada kelima-lima tertuduh atas pertuduhan menceroboh.

Tertuduh, Wan Haris Wan Ismail, 38, Zulkifli Mohd Nasir, 27, Azraen Che Mat Noor, 43, Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh didapati bersalah dengan niat telah melakukan pencerobohan di kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras di sini jam 5.10 petang, 11 Ogos lalu.

Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Dalam prosiding sama, tiga orang tertuduh Wan Haris, Zulkifli dan Azraen didapati telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, yang merupakan seorang ustaz di tahfiz tersebut.

Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Siti Aisyah kemudiannya menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh lapan bulan penjara dan denda RM1,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

11 Ogos lalu, tular di laman sosial sebuah video memaparkan seorang ustaz dan seorang pelajar di tahfiz sama ditampar dan dibelasah bertalu-talu oleh beberapa orang lelaki.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Azli bin Mohd Noor berkata, kejadian viral di Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah Jalan Cheneras itu berlaku akibat tidak puas hati terhadap ustaz tersebut kerana pembayaran makanan di pusat tahfiz tersebut.

Dalam kejadian itu, Ustaz Muhammad Zulhafiz bin Mohd Rasid yang ditugaskan untuk menjaga tahfiz telah mendapat kecederaan di mata sebelah kanan (4 jahitan), cedera di tangan dan lebam di badan, manakala pelajar tersebut mendapat kecederaan sakit di badan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: