Kes Nik Elin: JHEAIK Diarah Jadi Pencelah
KUALA LUMPUR, 08 Ogos 2023 – Kerajaan Negeri Kelantan mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan untuk bertindak sebagai Pencelah dalam kes Nik Elin Zurina yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan di Mahkamah Persekutuan, menurut kenyataan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob.
“Kerajaan Negeri Kelantan memandang berat isu cabaran terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan di Mahkamah Persekutuan yang melibatkan Kes Nik Elin Zurina Binti Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Binti Tengku Abdul Rahman vs Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan.”
Kata beliau, kes berkenaan melibatkan cabaran kepada kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal Undang-Undang Jenayah Syariah di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
BACA JUGA: Pemancing Temukan Barang Kemas Lama Era Ratu Victoria Di Lipis
BACA JUGA: Bekas Ahli Politik India Tuntut Laungan Azan Diharamkan
BACA JUGA: Warga Hulu Selangor Dakwa Syarikat Pelupusan E-Waste Langgar Peraturan
Sehubungan itu, katanya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan sebagai pihak yang berkepentingan dalam menjaga pelaksanaan Undang-Undang Islam di Negeri Kelantan khususnya berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 diarahkan berbuat sedemikian berikutan kes berkenaan akan memberikan impak besar kepada kepentingan Islam, Undang-Undang Syariah dan Kerajaan Negeri Kelantan secara keseluruhan.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyeru umat Islam termasuk tokoh-tokoh individu (NGIs) dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs) Islam untuk memainkan peranan yang sewajarnya demi membela dan mempertahankan Undang-Undang Syariah khususnya di Negeri Kelantan.
Semalam, samudera.my melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menggesa agar pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama dan NGO yang mempunyai kepentingan terhadap agama Islam untuk menjadi pencelah, watching brief atau sahabat mahkamah bagi kes Nik Elin Zurina.