Pendapat

KES KALIMAH ALLAH: PEGUAM MAIWP DAN MAIS JUGA SETUJU HAKIM DATUK NOR BEE TERKHILAF DALAM MENTAFSIRKAN MEMO TUN GHAFFAR – Dr KAMARUL ZAMAN YUSOFF

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook  kami bagi mendapatkan berita terkini

Adalah sesuatu yang menggembirakan bila membaca kenyataan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam kes kalimah “Allah”, dalam sebuah portal berita hari ini bahawa pihaknya akan menghujahkan di Mahkamah Rayuan bahawa Hakim Datuk Nor Bee telah terkhilaf dalam mentafsirkan Memo Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar, kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, pada 16 Mei 1986 kerana, kata beliau, pendirian dasar Kabinet yang terkandung di dalam memo Tun Ghaffar adalah larangan penuh bukan kebenaran bersyarat penggunaan kalimah “Allah” untuk penganut Kristian di Malaysia.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, berdasarkan cara memo Tun Ghafar ditulis, penggunaan bersyarat dengan meletakkan label “UNTUK AGAMA KRISTIAN” di muka depan buku bukan ditujukan untuk kalimah “Allah” dan tiga lagi kalimah, iaitu “Kaabah”, “Baitullah”, dan “Solat”. Sebaliknya, ia untuk 12 lagi perkataan yang mungkin boleh digunakan oleh penganut Kristian dalam teks agama bahasa Malaysia yang disebut di bahagian awal memo tersebut.

Hujah ini adalah selari dengan pandangan saya sendiri pada 19 Mac lalu bahawa Hakim Datuk Nor Bee mungkin terkhilaf kerana menganggap Memo Tun Ghaffar memberikan kebenaran mutlak kepada penggunaan perkataan-perkataan “Al-Kitab”, “Firman”, “Rasul”, “Syariat”, “Iman”, “Ibadah”, “Injil”, “Wahyu”, “Nabi”, “Syukur”, “Zikir” dan “Doa” serta memberikan kebenaran bersyarat kepada penggunaan perkataan-perkataan “Allah”, “Kaabah”, “Baitullah” dan “Solat” atas pandangan beliau bahawa ayat “Dengan syarat di luar kulit (muka depan) buku-buku itu ditulis perkataan “UNTUK AGAMA KRISTIAN” berada selepas ayat “Perkataan-perkataan yang tak boleh dipakai” dan bukan berada selepas ayat “Perkataan-perkataan di bawah ini boleh digunakan”.

Ini kerana, pada hemat saya, ayat “Dengan syarat di luar kulit (muka depan) buku-buku itu ditulis perkataan “UNTUK AGAMA KRISTIAN” sebenarnya adalah merujuk kepada “perkataan-perkataan yang boleh digunakan” dan bukan merujuk kepada “perkataan-perkataan yang tak boleh dipakai” kerana adalah tidak logik untuk kita menyebut “Perkataan-perkataan ini tak boleh dipakai dengan syarat di luar kulit (muka depan) buku-buku itu ditulis perkataan “UNTUK AGAMA KRISTIAN” berbanding kelogikan untuk kita menyebut “Perkataan-perkataan di bawah ini boleh digunakan dengan syarat di luar kulit (muka depan) buku-buku itu ditulis perkataan “UNTUK AGAMA KRISTIAN”.

Saya berkeyakinan pihak kerajaan akan menang pada peringkat rayuan nanti, paling tidak pun di dalam aspek keterkhilafan Hakim Datuk Nor Bee mentafsirkan Memo Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar, kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, pada 16 Mei 1986 ini.

It feels good to have said this thing three days earlier (19 vs 22 March) than the lawyer

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Pautan Asal: https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/4145007728876587

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button