Kes Kalimah Allah: Lebih 250 Wakil NGO PEMBELA Berhimpun Tuntut 6 Perkara
KUALA LUMPUR, 15 Mac 2021 – Lebih 250 wakil NGO Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkumpul semalam di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur bagi membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam isu kebenaran penggunaan Kalimah Allah dan tiga perkataan Islam kepada bukan Islam.
Dalam himpunan semalam, PEMBELA menyelar mana-mana pihak yang dilihat bersungguh-sungguh menggunakan kalimah suci dengan cara yang tidak betul seraya menuntut enam perkara untuk segera dijalankan beberapa pihak.
Tuntutan pertama, PEMBELA menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merayu keputusan ini ke mahkamah yang lebih tinggi dengan kadar segera dan meminta penangguhan pelaksanaan keputusan hakim tersebut sehingga kes rayuan selesai.
“KDN juga perlu mengeluarkan pekeliling baru pengharaman penggunaan perkataan-perkataan tersebut jika sekiranya penangguhan itu tidak dibenarkan. Ini bagi tujuan untuk memelihara ketenteraman awam supaya tidak berlaku provokasi-provokasi yang tidak dingini oleh pihak-pihak tertentu.”
Kedua, PEMBELA menuntut kerajaan dan Jawatankuasa Pemilihan Hakim memastikan hakim-hakim yang dilantik benar-benar faham sejarah perundangan negara dan menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks yang sebenar.
“Tuntutan ketiga, PEMBELA menyaran agar setiap organisasi dan persatuan umat Islam mengambil serius perihal isu ini kerana ia membawa implikasi besar kepada umat Islam dan menyarankan satu memorandum bantahan dihantar kepada Majlis Agama Islam Negeri di setiap negeri dengan kadar segera,” tambah Pengerusi PEMBELA, Tuan Haji Aminuddin Yahya.
Keempat, PEMBELA menuntut kerajaan mengadakan mukadimah (preamble) kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen penting bagi menjaga keutuhan Islam.
Selain itu, PEMBELA juga menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan berotoriti terhadap Bahasa untuk memberikan definisi perkataan “GOD” sebagai “TUHAN” bagi menghilangkan pertikaian yang timbul.
“Tuntutan yang terakhir, PEMBELA memohon ampun perkenan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing untuk mengambil tindakan segera membetulkan keadaan supaya Islam tidak terus dihina dan dipermainkan,” kata Tuan Haji Aminuddin mengakhiri kenyataan.