Kes Jenayah Komersial Dijangka Melonjak Menjelang Akhir 2024
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2024 – Kes-kes jenayah komersial dijangka akan terus melonjak lebih tinggi menjelang akhir tahun 2024, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Setakat 11 Ogos lalu, sebanyak 18,205 kes telah direkodkan iaitu menurun lapan peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Secara purata, polis menerima 81 kes sehari dan kes-kes yang dilaporkan telah membabitkan nilai kerugian sehingga RM1.5 juta.
“Jumlah kerugian sepanjang tahun ini meningkat 31 peratus walaupun kes dilaporkan menurun lapan peratus. Tahun lalu nilai kerugian dalam tempoh sama RM1.164 juta,” katanya pada sidang akhbar.
Menurut Ramli, pembanterasan jenayah komersial dalam era kecanggihan teknologi ini merupakan cabaran terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya JSJK.
“Sehingga kini, ia dapat ditangani dengan baik dan telah ditunjuk melalui 10,848 kertas siasatan yang telah berjaya dituduh pada tahun ini.”
Trend tersebut adalah satu cabaran kepada PDRM untuk melipatgandakan usaha membanteras jenayah komersial.
Memetik laporan sama, PDRM turut menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing terutamanya dalam usaha mencegah jenayah ini.