Kes Iki Putra : Kita Leka Sejak Kes Indira Gandhi 2018 – Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz.
KUALA LUMPUR – “Dah banyak kali kita bersuara. Belasan tahun kita bercakap isu yang sama. Tapi tak ada pun tindakan sebelum ini dari pihak kita untuk meneliti dan memeriksa secara telitinya,” kata Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz dalam nada kecewa dengan perkembangan yang berlaku disebabkan sikap sambil lewa yang diambil oleh pihak-pihak yang sepatutnya bertindak dan berusaha lebih awal.
Menurut Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz lagi, perkara yang berlaku sebagaimana keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Iki Putra ini, sepatutnya boleh dielakkan dengan lebih awal jika semua pihak pro aktif dan mendengar teguran-teguran yang diberikan.
Tegas beliau, perkara teknikal dalam perundangan dan pembahagian kuasa antara Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Syariah perlu dijelaskan bagi mengelakkan pertindihan terus terjadi.
“Dari segi technicalities undang-undang, ia adalah tertakluk kepada satu frasa yang disebut bahawa, yang saya nak baca perenggan terakhir yang dinyatakan oleh Yang Amat Arif Tengku Maimun. Beliau menyatakan bahawa, “For the avoidance of doubt, untuk mengelak daripada keraguan, the state legislatures throughout Malaysia have the power to enact offences against the Precepts of Islam”.”
“Maknanya, dia telah diputuskan dalam kes Sulaiman Takrib. “As decided in the court, Sulaiman Takrib and other related judgement, the definition of Precepts of Islam is wide and is not merely limited to the five pillars of Islam. Thus the range of offences that may be enacted are wide. Having said that, the power to enact such range of offences is subject to Constitutional limit”.”
“Ini yang jadi masalahnya. Maknanya, what are those Constitutional limits?”
Menurut beliau, perkara teknikal ini perlu dijelaskan kepada semua pihak yang berkepentingan.
Oleh itu, menurut Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu UiTM ini, jika perkara-perkara teknikal dalam isu perundangan ini tidak dibincangkan, masalah yang sama akan berlaku sama seperti dalam kes Indira Ghandi.
“Jadi timbul pada masalah hari ini. Contohlah, kita ini leka sejak keputusan kes Indira Ghandi 2018 lagi. Keputusan kes itu 2018. Apa yang kita buat pada peringkat negeri? Apa yang telah kita bina, apa yang telah kita buat untuk Mahkamah Syariah dan sebagainya? Ini yang kata tunjuk jari kat orang sedangkan kita yang sendiri sebenarnya banyak yang perlu buat lagi kerja kita di peringkat Mahkamah Syariah dan juga Dewan Undangan Negeri ini.”