Tempatan

Kes Iki Putra Boleh Jatuhkan Perundangan Syariah, Kerajaan Digesa Pinda Perlembagaan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 06 Ogos 2023 – Kerajaan digesa untuk meminda Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra yang dilihat boleh menjatuhkan satu persatu perundangan syariah di peringkat negeri, memetik kepada kenyataan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di Facebooknya.

“Kes Iki Putra ibarat domino yang boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah di peringkat negeri. Kes yang berlaku di Kelantan pada tahun lalu mengambil fakta kes Iki Putra dan akan mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan. Saya pasti semua umat Islam faham apabila 20 kesalahan syariah ini diputuskan tidak berperlembagaan, apa implikasinya kepada negeri-negeri lain.”

BACA JUGA: PRN: Berpada-Pada Pasang Bendera Parti Pada Kenderaan – Anthony Loke

BACA JUGA: PRN: Rakyat Mahu Wakil Rakyat Dipilih Mampu Selesai Masalah Banjir

BACA JUGA: Rampasan 47 Ular Dibawa Penumpang Dari Malaysia, JKDM Beri Penjelasan

“Perjalanan memperkasa undang-undang syariah ini bukan kerja sehari dua. Saya sedia maklum dan yakin, mana-mana Menteri yang terlibat sama ada sebelum atau selepas saya, memberikan komitmen sepenuhnya untuk perjuangan ini. Ini masanya untuk kita bersatu kerana ia sudah menyentuh kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam, begitu juga autoriti Mahkamah Syariah,” tegas beliau.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyeru Kerajaan yang memerintah dan mentadbir negara ini untuk memandang serius dalam memperkasa dan memartabatkan undang-undang syariah yang seolah-olah boleh disepak terajang dan dinyahkan walaupun hanya dengan mahkamah majistret atau mahkamah rendah sivil.

Sehubungan itu, tegas beliau, satu-satunya jalan adalah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang telah disarankan oleh 200 peguam termasuk peguam bela, peguam cara dan peguam syarie yang menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra Mubarak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: