Kes Hak Jagaan Anak Orang Asli: Mahkamah Perintah ‘Gag Order’ Kepada Semua Pihak Terbabit
KUANTAN, 02 Jun 2023 – Mahkamah Tinggi Kuantan mengeluarkan perintah ‘gag order’ (arahan tegahan) kepada semua pihak yang terbabit dalam kes perebutan hak jagaan kanak-kanak Orang Asli yang tular baru-baru ini.
Perkara tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Zainal Azman Ab Aziz dalam prosiding yang berlangsung pagi semalam.
BACA JUGA: Isu Air: Kelantan, Sabah, Sedia Kerjasama Dengan Kerajaan Pusat
BACA JUGA: Johor Sasar 8,000 Orang Awam Khatam Al-Quran Setahun
BACA JUGA: Ibu Maisarah Mahu Akidah Islam Anak Kekal Terjaga
Menurut peguam yang mewakili ibu kepada kanak-kanak berkenaan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, semua pihak perlu mematuhi keputusan Mahkamah serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes terbabit di mana-mana media.
Keputusan tersebut turut dipersetujui oleh peguam yang mewakili bapa kanak-kanak berkenaan, Bastian Pius Vendargon.
Kaunsel Bersama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhammad Hariz Md Yusoff menyatakan bahawa pihak Mahkamah mengeluarkan perintah tersebut untuk tidak menerbitkan mahupun menyiarkan nama-nama pihak iaitu anak, ibu dan bapanya termasuklah gambar dan video sepertimana yang dipohon oleh pihak peguam kepada ibu kanak-kanak terbabit.
Kata beliau, larangan tersebut berkuat kuasa selepas keputusan Mahkamah dibuat bermula semalam.
Untuk rekod, ‘gag order’ merupakan satu perintah yang menghalang maklumat daripada disebarkan atau dikomen daripada atau oleh orang awam dan ia dikeluarkan oleh Kerajaan dan mahkamah.