Kes Dera Bella, Siti Bainun Diarah Bela Diri
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 24 November 2022 – Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun, dikenali Bella tahun lalu.
Hakim Izralizam Sanusi memutuskan sedemikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.
Tertuduh diberi tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Sementara pilihan kedua, memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan atau ketiga, berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan.
Selepas mendengar perkara itu, peguam, tertuduh mengambil pilihan pertama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.
Manakala Siti Bainun pula diwakili peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Asiah Abd Jalil dan Nur Ellena Mohamed Razif.
Hadir sama Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman yang dilantik oleh Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Siti Bainun membela diri pada 5,6,7,8 dan 9 Disember depan.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000.