Kes Dera Bella: Mangsa Alami Kecederaan Fizikal & Emosi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 25 November 2022 – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diperintahkan membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down, Bella sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Tertuduh bukan sahaja dikatakan cuai malah kurang memberikan perhatian kepada mangsa yang ketika itu berada di bawah penjagaannya.
Media melaporkan pendapat Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, jika tertuduh menjaga mangsa dengan baik dan penuh perhatian, sudah pasti kanak-kanak tersebut tidak menderita akibat kecederaan yang dialami.
Dalam pada itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi dalam keputusannya semalam berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen di bawah setiap pertuduhan.
Elemen 1 – Bella seorang kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
Elemen 2 – Tertuduh mempunyai pemeliharaan terhadapnya.
Elemen 3 – Mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi ketika berada dalaam jagaan tertuduh.
Elemen 4 – Siti Bainun mengabai dan menganiaya Bella.
Berdasarkan keterangan pakar pediatrik, Dr Nizam melalui hakim Izralizam, banyak kesan luka lama pada muka, leher kiri, bahagian belakang, perut dan paha kanan pesakit.
“Luka terbakar tahap dua itu bukan disebabkan oleh kemalangan atau perbuatan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur yang merawat luka pada kedua-dua tangan Bella turut tampil menerangkan bahawa kecederaan serius akibat luka lecuran mengambil masa lama untuk sembuh.
Mahkamah juga merujuk keterangan salah seorang penghuni Rumah Bonda yang menyatakan bahawa Siti Bainun mendera Bella dengan menyimbah mangsa dengan air panas daripada mesin penapis air.
Justeru itu, Izralizam memanggil Siti Bainun untuk membela diri terhadap kedua-dua pertuduhan selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Susulan sidang kes ini pagi semalam, Siti Bainun dijadualkan memberi keterangan bela diri secara bersumpah daripada kandang saksi selama lima hari berturut-turut iaitu pada 5 hingga 9 Disember ini.