Tempatan

Kes Cikgu Fadli: Hukuman Belum Dijatuhkan, Lembaga Tatatertib Bersidang Hari Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 17 Oktober 2022 – Surat yang dihantar kepada Cikgu Mohd Fadli bin Mohamed Salleh yang tular di semua platform media sosial tersebut bukanlah suatu surat yang membawa maksud bahawa hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib, demikian kenyataan balas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Melalui satu video yang dimuat naik di laman rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, beliau menjelaskan bahawa sebaliknya surat tersebut bertujuan memaklumkan kepada cikgu Fadli berkenaan dakwaan yang telah diterima oleh pihak berkuasa tatatertib serta keperluan untuk cikgu tersebut mengemukakan penjelasan bertulis.

“Sehubungan itu, pihak Lembaga Tata Tertib telahpun menerima surat representasi daripada cikgu Mohd Fadhli Mohd Salleh pada 14 Oktober 2022 dan Lembaga Tatatertib dijadualkan bersidang pada hari Isnin, yakni esok 17 Oktober 2022.”

Prosedur tatatertib ini dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 dan ianya diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat, jelas Datuk Pkharuddin Ghazali.

Sebelum ini, samudera.my melaporkan isu tular di laman sosial berkenaan seorang cikgu, Mohd Fadli bin Mohamed Salleh yang menerima surat ‘Tindakan Tatatertib Dengan Tujuan Buang Kerja Atau Turun Pangkat’ dari Kementerian Pendidikan Malaysia berhubung satu laporan yang diterima oleh Lembaga Tatatertib yang menyatakan bahawa beliau telah berkelakuan yang melanggar tatakelakuan dan membolehkan tindakan tatatertib diambil terhadap cikgu tersebut.

Menurut perkongsian Cikgu Fadli di Facebooknya, beliau menyentuh tentang beberapa perkara antaranya beg berat bahaya kepada para pelajar, silibus tinggi dan padat, bilangan murid ramai di dalam kelas, peruntukan masa untuk subjek teras tidak mencukupi dan adanya little napoleon dalam sistem pendidikan yang menyebabkan sistem pendidikan rosak.

“Kata mereka, ‘Cikgu perlu guna saluran yang betul. Bukan kat FB’. Jangan sembang saluran yang betul dengan saya. Sebab saya dah luahkan dalam saluran yang paling betul, masa penataran buku silibus baru di PPD di hadapan lebih 30 orang guru Matematik daerah Gombak, pegawai PPD dan pegawai JPN.”

“Sampai ke sudah saluran paling betul itu langsung tak memberi kesan apa-apa, bahkan makin menyusahkan,” luah Cikgu Fadli.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: