Tempatan

Isu UEC: Negara Ini Perlu Ada Satu Aliran Pendidikan Sahaja – Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Disember 2022 – “Negara ini perlu ada satu sahaja sistem dengan satu aliran pendidikan sahaja,” tegas Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan.

Menurutnya, jika tidak dibendung perkara ini maka benih-benih perkauman, cauvinis dan fahaman ekstrimisme akan tumbuh dan ini akan mengancam identiti bangsa dan negara.

Beliau juga berkongsi pandangan bahawa anak-anak kita dipisahkan dengan pendidikan berasaskan kaum dan agama.

Maka, kita semua perlu keluar dari kerangka tersebut dan memikirkan satu sistem pendidikan yang menyatukan semua kaum.

“Jadi buat masa ini bukan masa yang sesuai untuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menuntut sana sini terutama pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC),” ujarnya.

Tegas beliau, Kerajaan juga tidak perlu terburu- buru untuk tujuan ini dan menumpukan isu yang lebih besar iaitu memantapkan kualiti sistem pendidikan Negara.

Menurutnya lagi, pasca pandemik lalu kita telah berdepan isu Lost of Generation (keciciran pendidikan), maka ini yang perlu diatasi dan dicari solusi dahulu.

“Tidak perlu melayan pihak-pihak yang boleh mencetuskan keharmonian perpaduan bahkan, dahulu pernah ada sesi libat urus isu UEC, jadi jangan ada mana-mana pihak mempolitikkan isu ini,” tegasnya lagi.

Beliau turut melahirkan rasa dukacita apabila, baru-baru ini Dong Zong dilihat opportunis dengan meminta Kerajaan yang baru dibentuk meluluskan UEC ketika Jemaah Kabinet sendiri belum pun dilantik.

Persoalannya yang diajukan di sini, perlukah Kerajaan melayan kumpulan ini yang pernah dilabel ekstremis?

Jelasnya, tumpuan utama Kerajaan sekarang ialah menyelesaikan isu sekolah daif dan merapatkan jurang pendidikan sekolah bandar dan luar bandar.

Beliau berpandangan, dana yang besar perlu difokuskan untuk tangani isu ini adalah yang terlebih utama tambahan kebanyakan sekolah yang kurang kemudahan dan prasarana adalah sekolah kebangsaan.

Tegas Ustaz Mohd Azizee, Kerajaan perlu mengutamakan sekolah yang berada di dalam sistem pendidikan perdana dari yang di luar sistem demi memastikan sekolah kebangsaan adalah sekolah terbaik dan menjadi pilihan semua rakyat.

“Saya fikir orang politik perlu ketepikan kepentingan politik kepartian mereka. Rakyat di bawah juga jangan dihasut dengan sentimen yang keterlaluan,” ujarnya.

Tambah beliau, negara perlu bergerak ke hadapan. Dunia global memerlukan pendidikan kalis zaman, jika tidak anak-anak kita akan ketinggalan dan tidak mampu menghadapi cabaran semasa.

Justeru, untuk memajukan pendidikan negara kita perlu berani dan bersedia untuk berubah. Perlu kembali menghayati Falsafah Pendidikan Negara sebagai induk dan teras kekuatan pendidikan kita bersama,” katanya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: