Iqtisad Pribumi

Kereta Lebih 5 Tahun Bakal Wajib Diperiksa Pusat Swasta? – Hezri Sardi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUSPAKOM = Monopoli?

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan monopoli PUSPAKOM dalam pemeriksaan kenderaan akan berakhir pada 2023. Ini disambut baik oleh banyak orang kerana kononnya “MONOPOLI itu buruk” dan “PUSPAKOM banyak rasuah”. Saya melihat banyak orang melihat isu MONOPOLI dan PUSPAKOM melalui GRAND NARRATIVE (Naratif muluk-muluk). Monopoli daripada segi bahasa bermaksud satu pihak membolot sesuatu perkara. Apabila kita melihat MONOPOLI melalui kaca mata GRAND NARRATIVE, kita menganggap semua jenis monopoli itu buruk. Kita main pukul rata. Macam kalau kita kata MERITOKRASI itu bagus, kita pukul rata slogan meritokrasi itu sebagai bagus untuk semua keadaan. GRAND NARRATIVE juga selalu digunakan dalam memburukkan pihak lain. Misalnya, RASISME dilabel sebagai buruk dalam semua keadaan. Atau istilah PENYAMUN diguna ke atas semua jenis perbuatan yang dibuat oleh orang yang kita tak suka.

Kaedah GRAND NARRATIVE telah mencipta banyak ideologi pada zaman moden seperti neoliberal, fasisme, komunisme dan banyak lagi. Zaman moden ialah zaman sekitar Perjanjian Westphalia pada 1648 dan berakhir pada tahun 2000. Abad ke 21 ialah zaman pasca moden (post-modern). Kalau kita kata monopoli itu buruk tanpa fikir 2 atau 3 kali, maka kita terperangkap dalam GRAND NARRATIVE iaitu fikiran moden yang ketinggalan zaman.

Saya bukan pembaris, lurus bendul. Saya dah berhijrah ke pemikiran pasca moden. Saya melihat dasar Kerajaan untuk menghentikan monopoli PUSPAKOM bukan sesuatu yang bagus.

Agak lucu apabila ada orang fikir kalau ada beberapa PUSPAKOM, “rasuah” dan “runner” akan hilang. Ini cara berfikir secara CAUSALITY yang silap. Mereka menganggap monopoli PUSPAKOM menjadi punca kepada masalah “runner”. Betulkah perkaitannya?

Satu lagi. Jikalau tiada monopoli PUSPAKOM, apa alternatifnya?

Untuk pengetahuan Tuan Puan, pada 2014, Kementerian Pengangkutan sudah pun hampir menghentikan MONOPOLI PUSPAKOM. Apa yang Kementerian Pengangkutan buat sekarang ialah apa yang Kementerian Pengangkutan cuba buat pada 2014. Pada saat akhir, Kerajaan terpaksa menghentikan dasar anti monopoli itu. Kenapa? Kerana sentimen pada ketika itu, rakyat sedang marah Kerajaan kerana pelbagai isu dan kemuncak ialah GST pada 2015.

Pelik, bukan? Kementerian Pengangkutan nak hapuskan monopoli PUSPAKOM tapi takut rakyat marah. Kenapa rakyat marah kalau Kerajaan nak hentikan monopoli?

Ada satu perbezaan antara Kerajaan 2014 dengan Kerajaan GRAND NARRATIVE sekarang. Naratif. Pada 2014, Kementerian Pengangkutan tak kata nak hentikan monopoli PUSPAKOM sebaliknya Kerajaan berterus terang kata pemeriksaan kenderaan akan diswastakan. “Pusat-pusat pemeriksaan swasta” ini akan wujud bersama PUSPAKOM. Rakyat marah bila dapat tahu pasal pusat-pusat pemeriksaan swasta itu.

Dan rakyat bertambah marah atas 1 lagi sebab. Dengan penambahan pusat-pusat pemeriksaan swasta tadi, ada satu dasar besar yang Kementerian Pengangkutan nak buat.

Rakyat Malaysia umumnya banyak memiliki kereta kereta lama, berusia lebih 7 tahun. Apabila rakyat selesai bayar pinjaman bank, banyak yang tak beli kereta baru, sebaliknya guna kereta yang tiada lagi hutang itu. Akhirnya, banyak kereta lama bergerak di jalan raya. Dasar baru Kerajaan nanti ialah kereta berusia lebih 5 tahun diwajibkan menjalani pemeriksaan di pusat-pusat swasta tadi. Lagi tua kereta, lagi kerap pemeriksaan diwajibkan. Dikatakan, ini akan mengurangkan:

1) Kemalangan jalan raya.
2) Kesesakan lalu lintas (kerana kereta tua selalu rosak)
3) Pencemaran udara.
Pihak yang mencadangkan dasar / projek ini juga berhujah hanya Malaysia saja yang belum buat dasar pemeriksaan wajib kereta lama.

Dasar mewajibkan pemeriksaan kereta lama ini dipakejkan bersama projek penswastaan pusat pemeriksaan kenderaan. Nanti akan ada 2 atau 3 vendor swasta utama yang kemudian menjual hak franchise pusat pemeriksaan swasta kepada orang yang nak jadi usahawan.

Rakyat marah kerana Kerajaan pada 2014 telah mengumumkan ini. Kerana tiada naratif, berterus terang.
Kerajaan sekarang pula dipuji kerana pandai bermain Naratif untuk “Hapuskan MONOPOLI PUSPAKOM”. Walhal nanti akan ada dasar mewajibkan pemeriksaan kenderaan dan projek penswastaan pusat pemeriksaan kenderaan. Bila rakyat dapat tahu nanti, rakyat akan marah!

Kita ada otak. Fikir. Kerajaan sekarang selalu kata duit tiada, hutang banyak. Kalau tiada MONOPOLI PUSPAKOM, maknanya akan ada pusat pemeriksaan lain. Adalah Kerajaan yang tiada duit akan buka pusat pemeriksaan baru selain PUSPAKOM? Tidak.

Seperti program Rahmah yang diserah bulat kepada swasta, pusat pemeriksaan kenderaan selain PUSPAKOM itu nanti bukan datang daripada duit Kerajaan, tapi datang daripada duit swasta. Caj yang dikenakan kepada rakyat itu nanti adalah perlu untuk membiayai pusat-pusat swasta itu.

Saya bukan bertujuan mengkritik Kerajaan. Kerajaan sekarang nak jadi Neoliberal, saya tak boleh buat apa.
Tapi saya nak mengkritik Tuan Puan semua. Jangan begitu mudah percaya kepada Naratif. Jangan fikir lurus sangat macam pembaris. Berhijrahlah daripada mentaliti moden kepada pasca moden.

Hezri Sardi

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: