Tempatan

Kerajaan Tiada Rancangan Haramkan Perkahwinan Bawah Umur – Rina Harun

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 24 Mac 2022 – Kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur ujar Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rina yang menjawab kepada persoalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) menyatakan bahawa terdapat pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian bagi membendung perkahwinan bawah umur selain daripada meminda undang-undang.

Berdasarkan jawapan bertulisnya, isu itu perlu diuruskan melalui pendidikan, advokasi, pengukuhan institusi keluarga serta sosio ekonomi dalam masyarakat.

Biarpun begitu, menurut Rina Harun, kerajaan tetap komited untuk menegah perkahwinan bawah umur itu dengan melaksanakan Pelan Strategik Nasional Mengendalikan Punca Perkahwinan Kanak-Kanak.

Jawatankuasa pemandu juga telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan pembangunan program yang telah dirancang tersebut.

Nurul Izzah turut bertanyakan kepada Rina Harun berkenaan dengan status rancangan kerajaan untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur bagi mengekang eksploitasi kanak-kanak dan adakah Rina sudah adakan perbincangan dengan pihak berkuasa agama Islam Negeri yang lain berikutan umur sah untuk berkahwin adalah di bawah bidang kuasa pihak tersebut.

Rina Harun menjawab kepada pertanyaan itu dengan menyatakan bahawa Putrajaya akan membincangkan cadangannya itu dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) serta Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM).

Justeru, Rina Harun menyeru semua pihak yang berkepentingan sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan atau Negeri, supaya lebih prihatin terhadap isu ini dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam menguruskan perkahwinan bawah umur bagi menjaga masa depan mereka.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: