Tempatan

Kerajaan Terpaksa Tanggung Kos RM1.65 Setiap Liter RON95 Rakyat – Tengku Zafrul

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2022 – Kerajaan terpaksa menanggung bebanan tekanan kewangan sebanyak RM28 bilion pada tahun ini sekiranya subsidi minyak sedia ada dikekalkan ketika kenaikan harga pasaran minyak dunia ketika ini.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan harga minyak mentah dunia telah mengalami kenaikan kebelakangan ini ekoran dari peperangan Rusia dan Ukraine.

“Sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi AS$100 (RM418) setong, jumlah subsidi bagi keseluruhan tahun ini dijangka mencecah RM28 bilion, berbanding RM11 bilion bagi tahun lalu.”

Menurut beliau, kerajaan terpaksa menanggung kos RM1.65 bagi setiap liter RON95 minyak yang dibeli oleh rakyat memandangkan kos sebenar ialah RM3.70 seliter tetapi dijual pada harga RM2.05 sahaja.

“Sebagai contoh, setiap kali kita pergi ke stesen pam minyak, dan kita mengisi minyak dengan nilai RM100 atau kira-kira 49 liter, jumlah yang dibayar kerajaan ialah sebanyak RM81, kerana jumlah kos sebenar berdasarkan harga pasaran ialah RM181 bagi 49 liter RON95.”

“Ini bermaksud subsidi kerajaan adalah hingga 45 peratus daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar. Bagi diesel pula, pengguna hanya membayar RM2.15 seliter di stesen minyak sementara kos sebenar melebihi RM4.00 seliter.”

Sehubungan itu, Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan bakal mengkaji semua mekanisme subsidi minyak rakyat supaya boleh dilaksanakan secara bersasar dan dapat menjimatkan kewangan seterusnya boleh diagihkan semula “untuk program yang lebih berkesan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat”.

Harga jualan petrol RON95 di Malaysia pada ketika ini adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan harga jualan petrol di negara jiran dan negara yang menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), menurut beliau lagi.

“Perbezaan besar antara harga runcit petrol dalam negara berbanding negara jiran akan membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan petrol.”

Leave a Reply

Back to top button