Kerajaan Terima Import Makanan Dari Seluruh Dunia Tangani Ketidakcukupan Makanan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 20 Mei 2022 – Kerajaan terima import bahan makanan dari sesiapa sahaja bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi, kata Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita buka kepada sesiapa sahaja mengimport makanan ke negara ini,” ujarnya.
Berikutan keputusan itu, kerajaan memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan serta merta.
Menurutnya, pemansuhan itu antara usaha dari pihak kerajaan bagi menangani isu keselamatan makanan.
“Kalau dulu ada bermacam-macam AP, mulai hari ini tiada AP diperlukan. Sesiapa sahaja boleh mengimport makanan untuk memastikan kita cukup bahan makanan,” katanya sewaktu Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022 “Semarak Aidilfitri, Keluarga JPM Dirai’, semalam.
Tambahnya lagi, kerajaan turut maklum akan kebimbangan dari seluruh dunia terhadap kesan perang Ukraine yang berlaku baru-baru ini kepada bekalan makanan.
Berikutan itu, pihak kerajaan telah meminta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengemukakan cadangan jangka pendek dan panjang bagi memastikan perang itu tidak memberi impak terhadap keselamatan makanan negara.