Tempatan

Kerajaan Telah Wajibkan P-Hailing Daftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri – Timbalan Menteri

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 09 Disember 2021 – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kerajaan telah mewajibkan perusahaan ekonomi gig seperti Grab, GrabFood, Lalamove, Foodpanda dan sebagainya untuk mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri mulai 1 Oktober 2021 sebagai salah satu plan memastikan kategori tersebut mempunyai perlindungan keselamatan sosial.

“Kerajaan mengambil langkah aktif dengan memberi perlindungan sosial iaitu Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta 789. Walaupun pada mulanya Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri hanya terpakai secara mandatori kepada pemandu teksi yang bekerja sendiri, kemudian ianya diperluaskan kepada pemandu E-Hailing mulai 1 November 2018.”

“Menyedari perusahaan perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barang ataupun makanan telah mulai mendapat permintaan dalam pasaran, dan juga penawarannya yang tinggi, kerajaan telah mewajibkan perusahaan ini secara mandatori mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri mulai 1 Oktober 2021 sebagai salah satu plan memastikan kategori tersebut mempunyai perlindungan keselamatan sosial.”

Di samping itu, dasar dan undang-undang yang bersesuaian akan dicadangkan setelah kementerian mendapatkan maklumat yang menyeluruh bagi keperluan dalam pekerjaan gig bagi melindungi mereka di masa akan datang.

Ini merupakan jawapan kepada soalan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam sidang Parlimen semalam.

“Soalan nombor 10: Minta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk melindungi golongan penghantar makanan atau barangan yang bermotosikal/berkereta dan memastikan sektor ini kekal relevan,” kata Hannah.

Tambah Datuk Awang Hashim, kerajaan juga telah menyalurkan sejumlah peruntukan khas di bawah kementerian atau mana-mana agensi berkaitan bagi memacu perusahaan ini agar terus berdaya saing.

“Keprihatinan kerajaan terhadap perkara tersebut dihasratkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi tahun 2021 hingga 2025 dengan menetapkan jaminan untuk menyokong pembangunan ekonomi gig.”

Baru-baru ini masyarakat dihangatkan dengan pendedahan penindasan terhadap para rider P-Hailing dan vendor seperti KPI jatuh sekiranya berhenti solat dan menolak mengambil pesanan melibatkan babi, kadar upah penghantaran pesanan rider dipotong mengikut suka hati dan pihak syarikat penyelia mengenakan caj sehingga 35% terhadap pihak vendor makanan yang berdaftar dengan mereka.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: