Tempatan

Kerajaan Tanggung RM3 Juta Setahun Tangani Masalah Perosak Tanaman- MAFI

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEREMBAN, 13 September 2022 – Kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan sebanyak RM3 juta setahun bagi menangani masalah perosak serta penyakit tanaman di seluruh negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian telah membelanjakan jumlah tersebut selama lebih sedekad sejak tahun 2010 untuk menguruskan masalah berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, “Laporan di seluruh dunia merekodkan, hampir 40 peratus tanaman makanan musnah akibat serangan perosak dan penyakit tumbuhan setiap tahun dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi fenomena ini.”

“Pemerebakan atau ‘outbreak’ perosak dan penyakit ini melibatkan kos yang besar kepada Kerajaan dari segi pengurusan dan program penghapusannya,” ujar Ronald ketika berucap dalam Majlis Perasmian Simposium Biosekuriti Tumbuhan Tahun 2022 bertemakan ‘Pemerkasaan Biosekuriti Tumbuhan 2022’ hari ini, lapor agensi media tempatan.

Tambahnya, isu biosekuriti pada masa kini lebih terdedah kepada kewujudan perosak baharu, pergerakan perosak merentasi sempadan akibat perubahan iklim dan cuaca yang ekstrem serta pelbagai aktiviti manusia yang telah mengubah ekosistem setempat.

Kementerian melalui Jabatan Pertanian yang juga merupakan sebahagian daripada Organisasi Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan (NPPO) sentiasa berusaha memastikan langkah pelaksanaan biosekuriti tanaman dan tumbuhan menjadi keutamaan dalam memacu usaha ke arah pertanian yang lebih mampan.

Ulasnya, pelaksanaan program pengurusan perosak bersepadu dalam rantaian pengeluaran makanan, pengurusan sumber tanah yang berkesan dan penggunaan racun perosak juga penting dalam biosekuriti tanaman untuk meningkatkan lagi hasil serta kualiti makanan.

Kerajaan juga akan bertindak untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan kawalan di sempadan bagi menjamin keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya dapat dikawal dan dibendung.

Kata beliau, Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara juga bersetuju untuk mewujudkan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan hasil pertanian dan agromakanan negara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: