Tempatan

Kerajaan Tanggung 4,000 Lesen PSV Kepada Yang Layak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BATANG KALI, 04 Julai 2023 – Kerajaan menerusi program MyPSV bersetuju menanggung 4,000 Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara percuma kepada golongan B40 mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,500 adalah untuk pemohon lesen PSV e-Hailing dan teksi manakala 500 lagi ditawarkan untuk lesen PSV bas di seluruh negara melibatkan peruntukan RM2 juta.

BACA JUGA: Dakwa Akses Laman Sesawang Malaysia Today Dihalang, Raja Petra Tempelak Menteri

BACA JUGA: Keselamatan & Kedaulatan Negara Dikompromi, Tiong Perlu Letak Jawatan – Hj Aminuddin

BACA JUGA: PAS Dakwa DAP Main Isu 3R, Gesa Kerajaan Adil Dalam Tindakan

Langkah ini ujarnya bukan sahaja untuk membantu golongan B40 yang perlu menanggung kos RM2,590 untuk mendapatkan lesen PSV bas tetapi juga sebagai inisiatif bagi memenuhi keperluan industri yang mengalami kekurangan pemandu bas pada tahap kronik.

“Negara memerlukan ribuan pemandu bas bukan sahaja Prasarana, malah juga syarikat bas ekspres dan bas henti-henti di seluruh negara.”

“Saya difahamkan oleh beberapa syarikat bas ekspres bahawa memang mereka mengalami kekurangan pemandu dan kita tahu bahawa antara faktor yang tidak menjadi tarikan kepada orang ramai untuk menjadi pemandu bas adalah kerana gaji rendah.”

Loke berkata demikian selepas melancarkan Program MyPSV Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 pada Isnin.

Jelasnya, pemohon yang berjaya untuk program MyPSV tidak perlu membayar apa-apa kerana yuran akan ditanggung oleh Kerajaan sejajar dengan komitmen Kerajaan untuk membuka peluang dan ruang kepada masyarakat bagi mempertingkatkan taraf sosioekonomi serta pendapatan isi rumah

Loke berkata program MyPSV ini dapat melahirkan pemandu bas, teksi dan e-Hailing yang kompeten dan selamat kerana mereka akan menjalani latihan dan ujian untuk memastikan kompetensi sebelum diberi Lesen Vokasional PSV dan dibenarkan membawa kenderaan perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut katanya, pemohon yang berminat boleh membuat permohonan melalui portal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan keputusan permohonan akan diketahui dalam masa kira-kira dua minggu.

Antara kriteria kelayakan untuk memohon di bawah program MyPSV ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan berumur 21 tahun ke atas.

Mereka juga perlu lulus pemeriksaan kesihatan, dan tidak berada dalam mana-mana senarai hitam oleh mahkamah, JPJ atau Polis Diraja Malaysia.

Mereka yang memohon lesen PSV e-Hailing atau teksi mesti mempunyai lesen memandu kompeten (CDL) D-Class manakala pemohon lesen PSV bas mesti memiliki CDL D-Class atau E-Class.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: