Kerajaan Saudi Lulus 31,600 Kuota Jemaah Haji Malaysia Tahun Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 11 Januari 2023 – Kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 orang kuota jemaah haji Malaysia untuk tahun 1444H/2023M, tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar memberitahu, kelulusan itu diberikan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia ketika beliau menghadiri mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan Kerajaan Arab Saudi, semalam.
BACA JUGA: Pecah Masuk Bengkel & Curi Motosikal, Suspek Warga Asing Diberkas
BACA JUGA: Anwar Ibrahim Mengekalkan LGBTfobia di Malaysia – Thilaga Sulathireh
Menurutnya, pada mesyuarat yang penuh mahabbah itu, Dr Tawfiq Fawzan memuji Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang baik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang perlu dijadikan contoh kepada pihak lain.
“Saya menegaskan, TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan diadakan Kerajaan Arab Saudi.”
Katanya, bagi pihak Kerajaan Malaysia beliau menzahirkan rasa bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas kuota diberikan itu.
Beliau yakin penilaian sudah dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi dari semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin ketika menunaikan rukun Islam yang kelima.
Pada tahun lalu, Kerajaan Arab Saudi meluluskan 14,306 kuota haji Malaysia iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan terpakai kepada semua negara.
Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.