Kerajaan Sasar Tutup 300 Tapak Pelupusan Sampah Haram
SABAK BERNAM, 01 Jun 2023 – Sebanyak 300 tapak pelupusan sampah di seluruh negara disasarkan tutup menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Menurutnya, sasaran itu tidak mustahil kerana mengikut rekod, Kerajaan telah berjaya melepasi sasaran dengan menutup 128 tapak sampah haram berbanding 100 sasaran, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk Kerajaan Perpaduan.
BACA JUGA: Fatwa Sesat SIS: Mahkamah Tetapkan 21 Ogos Dengar Permohonan Rayuan
BACA JUGA: GEMPAR! Penyelidik Temui Rangka Manusia Prasejarah Di Gua Musang
BACA JUGA: Ringgit Lemah: Harga Ubat-Ubatan Dijangka Bakal Naik
“Tahun ini sahaja, kita sasar 300 tapak pelupusan sampah haram ditutup khususnya di Selangor kerana banyak kawasan industri. Tiada kompromi berhubung kebersihan serta kualiti alam ini.”
Jelasnya, usaha penutupan tapak tersebut adalah berterusan bagi mengelakkan ancaman kualiti alam sekitar terutama pada musim panas melanda negara ketika ini.
Kor Ming berkata, pihaknya akan memaklumkan status perkembangan jumlah penutupan tapak sampah haram sejurus sahaja kerja siap dalam masa terdekat.
Menurut beliau, perbincangan akan dilakukan khususnya dengan Kerajaan Negeri Selangor mengenai pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi memantapkan strategi mengelakkan pembuangan sampah haram.
Ujarnya, ini terutama melibatkan kontraktor-kontraktor dilantik bagi pembuangan sampah dari industri.
“Ini supaya penyelesaian terbaik kontraktor haram dalam mengatasi masalah kronik tapak sampah haram yang telah berlarutan lama dan bukannya berlaku sejak hari ini,” tegasnya.