Kerajaan Punca Penguasaan Bahasa Inggeris Merundum
KUALA LUMPUR, 15 Jun 2024 – Kemerosotan kemahiran Bahasa Inggeris di Malaysia didakwa berpunca daripada kesalahan Kerajaan.
Bekas guru, Geetha K berkata keadaan Bahasa Inggeris di Malaysia mulai merosot sekurang-kurangnya sejak dua generasi.
“Lepas satu kerajaan kepada kerajaan lain, menteri pendidikan saling bertukar, mereka membawa agenda yang salah.”
“Ini membawa kepada keadaan kemahiran Bahasa Inggeris yang rendah, kemerosotan yang diabaikan walaupun berulang kali amaran dan syor diberikan oleh pihak berkepentingan,” katanya.
Geetha berkata masalahnya adalah komposisi fakulti pengajaran di sekolah kerajaan.
“Bandingkan guru sekarang dengan dua generasi lalu, perbezaannya besar.”
Geetha berkata kalau Malaysia import guru dari Ivy League, Britain sekalipun, ia tidak akan dapat merawat keadaan sekarang.
“Akar masalah ini adalah pembuat dasar tidak ikhlas dan enggan mengakui kebenaran. Itu saja,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page) Noor Azimah Abdul Rahim mengakui kekurangan guru tempatan Bahasa Inggeris yang berkualiti menyumbang kepada masalah itu.
“Dengan adanya pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris sejak 2003, sepatutnya ada peningkatan dalam kualiti kemahiran Bahasa Inggeris,” katanya.
Oleh itu, bagi menambah baik keadaan itu, beliau menggesa kerajaan menguatkuasakan Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan pada 2016, di semua sekolah.
“Idea di sebalik DLP adalah membuka kelas seumpama itu di setiap sekolah. Tetapi sejak itu hanya 10% sekolah rendah kebangsaan dan sekolah Tamil membuka sekurang-kurangnya 1 kelas DLP.”
“Kementerian Pendidikan perlu melaksanakan tugas ini dan berhenti beri alasan. Menteri perlu tarik balik arahan kelas wajib bukan DLP di semua sekolah,” katanya.
Mereka berkata kerajaan perlu berhenti memberi alasan dan bertindak segera meningkatkan kecekapan guru Bahasa Inggeris tempatan.
Pada Rabu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau berbincang dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong berkenaan kemungkinan republik itu akan menghantar guru bagi mengajar Bahasa Inggeris atau mata pelajaran lain ke beberapa kawasan di Malaysia.