Kerajaan Persekutuan Pertahankan Hak & Kebebasan Rakyat Bukan Melayu/Bumiputra/Islam – Asyraf Wajdi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 18 Disember 2022 – “Kerajaan Persekutuan juga akan mempertahankan hak dan kebebasan rakyat bukan Melayu/Bumiputra/Islam mengamalkan agama, kepercayaan dan adat masing-masing mengikut Perlembagaan Persekutuan.”
Ini merupakan antara intipati penting dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama yang ditandatangani Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.
Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, oleh yang demikian, gabungan-gabungan PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN yang menjadi pihak-pihak kepada Perjanjian Kerjasama ini beriltizam menjana kesepakatan rakyat untuk memacu Malaysia di atas landasan yang progresif dan majmuk, supaya Kerajaan Persekutuan mengambil langkah yang perlu agar dasar, program, pendirian, perlakuan dan pembawaan Kerajaan agar ia selari dengan peruntukan tersebut.
Ujarnya lagi, hal ini supaya keseluruhan rakyat Malaysia boleh hidup dalam suasana harmoni, saling mempercayai, mendapat peluang yang adil mengikut keperluan, dan saling memakmurkan dalam konteks hidup bernegara yang majmuk.
Perjanjian Persefahaman Kerjasama telah ditandatangani oleh setiap setiausaha agung parti dalam gabungan iaitu Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto S Padua di pejabat Perdana Menteri, pada 16 Disember 2022.