Kerajaan Perpaduan Hentikan Inisiatif Lupuskan Hutang Peneroka Felda
KUALA LUMPUR, 25 Februari 2023 – Inisiatif penghapusan hutang peneroka FELDA yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021 tidak akan diteruskan dalam pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
“Kerajaan tidak akan dapat meneruskan pelupusan pinjaman peneroka Felda lagi kerana ia telah memberi kesan besar kepada aliran tunai Felda,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan di Parlimen pada Khamis.
BACA JUGA: AUKU Kekal – Menteri KPT
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau), yang bertanya sama ada Putrajaya akan meneruskan pelupusan pinjaman kepada peneroka Felda.
BACA JUGA: Agensi Maritim Selangor Masih Mencari Nelayan Hilang
Tegasnya, kutipan balik baki hutang atau pinjaman yang dikeluarkan hingga kini, perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan FELDA untuk kelangsungan organisasi serta kebajikan warga peneroka.
BACA JUGA: Minyak Sawit: Tingkatkan Usaha Kekang Kempen Negatif Media Barat
“Hal ini disebabkan kutipan hutang peneroka FELDA adalah salah satu sumber pendapatan FELDA yang penting, bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun ini.”
Namun begitu, Azalina menjelaskan FELDA tetap komited membantu golongan itu.
“FELDA akan melaksanakan pengurangan tempoh pengurusan program pembangunan tanam semula ladang, iaitu pemberian pinjaman sara hidup disingkatkan daripada lapan kepada empat tahun.”
“Selain itu, FELDA juga melaksanakan program tanam semula menggunakan baka sawit terbaharu yang mempunyai kadar pengeluaran hasil lebih tinggi hingga 16 tan sehektar pada bulan ke-48.”
Jelasnya melalui usaha itu, pendapatan peneroka dapat ditingkatkan dalam masa lebih singkat disebabkan mereka mula dibayar hasil atau pendapatan sebenar ladang bermula tahun kelima.
Terdahulu, Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin mengumumkan Kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan FELDA untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
Pengerusi PN itu dilaporkan berkata, pelupusan itu akan dilaksanakan menerusi inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat, terutama bagi generasi awal yang berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah berkenaan dijayakan.