Kerajaan Perpaduan Atau Minoriti, Mungkinkah Kemelut Berakhir Hari Ini?
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 24 November 2022 – “Pada hemat Baginda, masalah Kerajaan tergantung boleh diselesaikan dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan,” kata Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada sebuah portal tempatan.
Merujuk kepada kemelut politik yang sedang melanda negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau menekankan bahawa ia mungkin berakhir dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Minoriti.
“Pembentukan Kerajaan Perpaduan dibayangkan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Barisan Nasional (BN) menyokong sebarang keputusan pembentukan Kerajaan baharu sama ada berbentuk perpaduan atau campuran.”
“Oleh itu Agong mahu BN memberi sokongan kepada perkara itu jika Baginda membuat keputusan untuk membentuk Kerajaan dan melantik seorang anggota Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu,” ujar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.
Katanya lagi, dalam pertemuan dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam, Baginda meminta perpaduan rakyat dan pelbagai agama menjadi keutamaan. Seri Paduka juga meminta mengetepikan perbezaan ideologi dan fahaman politik masing-masing.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah dengan Pakatan Harapan (PH) memiliki jumlah terbanyak iaitu 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) 73 dan diikuti BN 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) (satu), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (dua).
Kelmarin KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan supaya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.
Sekiranya PH dan PN gagal mewujudkan kerjasama Kerajaan Perpaduan atau menarik sokongan mana-mana parti lain untuk mencukupkan majoriti mudah 112 kerusi, maka salah satu gabungan parti itu yang memiliki kerusi terbanyak hendak diberikan laluan membentuk kerajaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.
Manakala, pada hari ini, KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan satu perbincangan khas bersama Majlis Raja-Raja bagi memberi ruang untuk Seri Paduka Baginda meminta pandangan Raja-Raja Melayu mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan.