Kerajaan Perlu Semak Sistem Pendidikan Islam Negara
NILAI, 18 Julai 2023 – Sudah tiba masanya Kerajaan menilai dan menyemak serta menyeragamkan sistem pendidikan Islam di negara ini, ujar Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan.
Hal ini berikutan pengurusan pendidikan sekolah agama dalam negara yang dipercayai tidak seragam ekoran terdapat lebih daripada satu organisasi yang menguruskannya.
Setakat ini, pengurusan sekolah agama terletak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis-Majlis Agama Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian.
BACA JUGA: Kuliah UAI Dibatalkan: JAWI Beri Penjelasan
BACA JUGA: Dakwa Salah Laku Perdana Menteri, Idris Ahmad Sokong Cadangan Perundangan Wan Junaidi
BACA JUGA: PRN: MAIDAM Larang Tampal Poster Politik Di Masjid, Surau
Perkara ini menyebabkan tiada keseragaman kurikulum dan pentaksiran peperiksaan malah memberi kesan kepada standard pendidikan Islam yang sepatutnya.
Lantaran itu, Mohd. Azizee berpendapat, Kerajaan perlu melibatkan semua pemegang taruh pendidikan Islam bagi mencari solusi terbaik untuk memajukan kualiti pendidikan bagi aspek kurikulum, kualiti guru dan sekolah.
Katanya, “Jika tidak diusahakan kebimbangan ialah wujud salah faham tafsiran kepada ajaran Islam, kita berdepan unsur-unsur kekerasan dan fahaman politik kepartian yang boleh membawa perpecahan umat Islam.”