Kerajaan Perlu Gubal Undang-Undang Halang Sekatan Penyebaran Perjuangan Palestin Oleh Syarikat Gergasi Media Sosial Dunia – MACSA
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Kerajaan perlu menggubal Undang-undang Menghalang Sekatan Penyebaran Perjuangan Palestin oleh syarikat gergasi media sosial dunia.
MACSA bersolidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka membebaskan diri dari penjajahan di Wilayah Palestin dan mengecam kerajaan Israel yang telah mencabul pelbagai undang-undang antarabangsa. Ini merangkumi pengusiran penduduk Palestin dari kediaman mereka, mendirikan penempatan Israel baru di tanah Palestin, pembunuhan orang awam Palestin tanpa bicara, penahanan sewenang-wenangnya kanak-kanak dan wanita Palestin dan pelbagai lagi pencabulan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sudah banyak didokumentasikan.
MACSA dengan itu menghormati segala usaha rakyat Malaysia dan bangsa lain di seluruh dunia yang telah berdiri di belakang rakyat Palestin dengan menyuarakan pendirian dan bantahan mereka terhadap pencabulan pemerintah Israel terhadap hak-hak rakyat Palestin. Penderitaan rakyat Palestin ini telah dapat disebarkan secara meluas khususnya melalui media sosial.
Untuk ini MACSA memandang serius terhadap pelbagai aduan bahawa syarikat gergasi rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok telah mengenakan sekatan secara tidak adil, diskriminatori dan sewenang-wenangnya terhadap berita-berita yang menyentuh keadaan rakyat Palestin. Pelbagai dakwaan telah dibuat oleh ramai pengguna bahawa syarikat-syarikat ini telah menyekat kebebasan bersuara mereka dengan menghapuskan posting atau komen yang sah dan / atau menutup akaun dengan sewenang-wenangnya tanpa memberi alasan dan melalui proses yang sewajarnya.
Maka, sudah tiba masanya syarikat rangkaian sosial ini dipertanggungjawabkan ke atas pencabulan kebebasan bersuara. Rakyat Palestin sudah terlalu lama ditindas dengan kejam di bawah rejim Israel dan apa-apa lagi sekatan penyebaran berita dan hak bersuara mereka, adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima.
Oleh itu, MACSA menyeru agar Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menggubal “undang-undang Anti-Tapisan (anti-censorship) Perjuangan Palestin” agar syarikat rangkaian sosial gergasi ini dipertanggungjawabkan dalam sebarang bentuk sekatan kebebasan bersuara.
MACSA mengakui syarikat-syarikat ini mempunyai hak untuk menyekat ucapan kebencian tetapi apa yang dimaksudkan dengan ucapan kebencian mestilah diperjelaskan. Sebarang sekatan bersuara mestilah dilaksanakan dengan adil dan telus dan bukan sewenang-wenang seperti yang dilakukan sekarang. Mana-mana syarikat rangkaian sosial gergasi yang melanggar undang-undang ini hendaklah dikenakan denda yang setimpal.
Lukman Sheriff Alias,
Pengerusi,
Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA)
Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar,
Pengerusi Bersama MACSA
Suwardi bin Yaacob,
Pengerusi Yayasan MyAQSA