Tempatan

Ayam & Telur: KPDN Jamin Bekalan Cukup Menjelang Aidilfitri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 02 April 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur mencukupi untuk Ramadan ini dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Kementerian itu berkata, satu sesi libat urus telah diadakan bersama pihak lain antaranya Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta pihak pengeluar yang diwakili oleh Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM).

BACA JUGA: Bufet Ramadan: Dua Hotel Diarah Tutup, 46 Kompaun Diberikan Penguatkuasa Kesihatan

BACA JUGA: Wanita Dakwa ‘Dimarah’ Kerana Cabar Undang-Undang Tukar Agama Unilateral

BACA JUGA: 41 Rangka Manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah Akan Dibawa Pulang Ke Malaysia

Sesi libat urus itu adalah bertujuan untuk memastikan isu bekalan dan harga barang mentah ini dapat ditangani dengan holistik.

Kata kementerian itu, pihak pengeluar menerusi FLFAM telah memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur mencukupi sepanjang Ramadan serta menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Mereka turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak kementerian bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan tersebut dengan menyalurkan segera bekalan ke atas mana-mana lokaliti yang mengalami gangguan,” kata KPDN dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, KPDN turut menyatakan bahawa pihaknya telah menjalankan sebanyak 183,047 pemeriksaan terhadap peniaga bekalan ayam dan telur.

Hasil daripada pemeriksaan berkenaan, pihaknya mendapati sebanyak 2,711 daripada jumlah tersebut didapati menjual melebihi harga kawalan serta gagal mematuhi penandaan harga diikuti kesalahan lain.

Sehubungan itu, KPDN menyeru pengguna untuk menjadi ‘mata-mata’ Kerajaan dan menyalurkan maklumat mahupun aduan berhubung ketidakpatuhan dalam penyaluran bekalan ini.

“KPDN berusaha sedaya upaya menangani isu kenaikan harga barang yang tidak munasabah bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan selesa sepanjang sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: