Kerajaan Pahang Tanggung Baki Kos Perubatan Adik Athif
KUANTAN, 15 Jun 2023 – Kerajaan Pahang memberi jaminan akan menanggung baki kos perubatan adik Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy Type 1 (SMA1).
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan perkara itu kepada ibu dan bapa adik Athif sendiri dalam kunjungan ziarah semalam.
Ujar beliau, Kerajaan Pahang akan menanggung baki kos berjumlah RM300,000 daripada keseluruhan kos sebanyak RM9.7 juta untuk pembelian ubat Genetik Zolgensma yang berfungsi menghentikan proses kemerosotan fungsi otot yang terjejas.
“Saya memberi jaminan di sini, kekurangan RM300,000 ini, sebab itu saya minta untuk terus ambil tindakan pergi berubat, kalau katalah tidak dapat RM300,000 lagi, Kerajaan Negeri akan tanggung, ini jaminan saya komitmen Kerajaan Negeri,” katanya.
BACA JUGA: Empangan Hidroelekrik Baleh Siap 5 Tahun Lagi
BACA JUGA: Penantian Giliran Tunai Haji Kini Cecah 148 Tahun
BACA JUGA: Anti LGBT: NGO Mahu SHAKE Beri Latihan Hak Asasi Manusia Kepada MP
Dalam kunjungan sama, beliau turut menyatakan harapan agar adik Athif dapat sembuh sepenuhnya daripada penyakit SMA1.
“Saya sangat bersimpati terhadap nasib dan kesakitan beliau, dan sejujurnya saya sedaya upaya untuk membantu setiap lapisan rakyat terutamanya dalam mengambil berat tentang kebajikan masyarakat di negeri Pahang ini,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Yayasan Misi Rakyat telah melancarkan kutipan dana untuk membantu adik Athif dan dalam tempoh sebulan sahaja, pihaknya telah berjaya mengumpul sebanyak RM9.4 juta.