Tempatan

Kerajaan Pahang Sumbang Seragam Rasmi Universiti Al-Azhar Tanda Pelihara Institusi Agama

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 28 Januari 2022 – Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan sumbangan seragam jubah dan imamah (serban) rasmi Universiti Al-Azhar, Kaherah kepada 45 individu terdiri daripada individu berkaitan hal ehwal agama di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad memaklumkan, cetusan idea daripada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu adalah sebagai tanda kesungguhan kerajaan negeri memelihara institusi agama Islam.

Sumbangan tersebut bukan sahaja sebagai tanda sokongan dan motivasi kerajaan negeri kepada institusi agama di Pahang, malah untuk jalinan ikatan dakwah, akidah dan akademik berterusan antara Pahang dan Universiti Al-Azhar, ujar Dato’ Sri Syed Ibrahim.

Antara individu yang menerima jubah dan imamah itu ialah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman; Ketua Hakim Syarie Negeri, Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunos dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali.

Turut menerima, Timbalan Mufti Pahang, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Imam Besar Masjid Negeri, Ketua Pendakwaan Syariah Pahang, dan seramai tujuh Ketua Penolong Pengarah JAIP.

“Selain itu, 14 Kadi Daerah, Timbalan Kadi (10 orang), Imam Masjid Negeri (seorang) dan Imam Masjid Daerah (14 orang) juga menerima jubah dan imamah berkenaan.”

Dalam majlis yang sama, Kerajaan Negeri Pahang turut menyampaikan sumbangan peruntukan lebih RM1 juta bagi membaik pulih 90 masjid dan surau yang terjejas akibat banjir di negeri itu.

“Peruntukan tersebut disediakan kerajaan negeri dengan kombinasi sumbangan daripada MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang), Majlis Agama Islam Pulau Pinang, NGO (badan bukan kerajaan) dan orang perseorangan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Leave a Reply

Back to top button