Tempatan

Kerajaan Pahang Sumbang RM138,000 Kepada Masjid, Surau Dan Sekolah

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 06 April 2022 – Kerajaan Pahang telah menyediakan peruntukan sebanyak RM138,000 sebagai sumbangan Ihya’ Ramadan kepada masjid, surau dan sekolah di Dewan Negeri (DN) Kerdau baru-baru ini.

Menurut YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, RM79,000 telah diperuntukkan bagi majlis berkenaan yang dimulakan dengan tahlil, penyampaian sumbangan Ihya’ Ramadan dan berbuka puasa.

Majlis itu turut diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pengerusi Masjid melibatkan 24 buah masjid serta tujuh buah surau daerah Kerdau.

Selain itu, sebanyak RM59,000 telah disumbangkan kepada sekolah dan tabung masjid.

Peruntukan tersebut termasuk permohonan melalui Pusat Komuniti Desa Kerdau (PKDK) dari Masjid At-Taqwa Kampung Simpang Tebing Tinggi Jerantut; Kelas al-Quran dan Fardu Ain Badan Kebajikan Islam Temerloh dan Pusat Sumber Desa Murni Kerdau telah mendapat kelulusan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Turut menerima sumbangan ialah Sekolah Menengah Seri Bera; Pusat Tahfiz Teknikal Yayasan Ummah Prihatin Pahang Mukim Pelangai, Bentong; Pejabat Agama Islam Daerah Raub (BAKSURA); Tabung Ihya Ramadan Surau Al-Hidayah Taman Merbau Indah Daerah Bera; Tabung Badan Khairat Kematian Taman Merbau Indah Bera dan Tabung Ihya Ramadan Masjid Jamek Bandar Triang,” ujarnya.

Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berharap agar semua sumbangan yang telah disalurkan mendapat keberkatan Allah SWT dan sampai pada tujuannya.

Leave a Reply

Back to top button