Kerajaan Negeri Sembilan Mahu Tanah Terbiar Dimajukan Dengan Aktiviti Pertanian
REMBAU, 10 Ogos 2024 – Tanah-tanah terbiar di Negeri Sembilan termasuk tanah adat dan juga tanah milik agensi kerajaan tertentu akan dimajukan dengan aktiviti pertanian dan penternakan sebagai usaha menambah bekalan makanan dalam negara.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerajaan negeri komited dalam usaha itu khususnya bagi menyelesaikan masalah tanah adat yang membabitkan urus tadbir berkaitan hal ehwal pusaka.
“Perkara ini sudah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dapatkan jalan penyelesaian terbaik bagi tanah adat untuk diambil oleh pihak pentadbir tanah daerah. Ia supaya kita dapat mempermudahkan aktiviti pertanian di semua tanah adat ini.”
“Selain itu, masih banyak lagi tanah yang dimiliki agensi-agensi tertentu yang telah diberikan hak milik yang masih tidak diusahakan. Kerajaan negeri sudah bertemu dengan agensi-agensi ini supaya tanah ini dapat diusahakan segera,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Informasi Pertanian Daerah Rembau Sempena Sambutan Hari Kebesaran Islam Peringkat Daerah Rembau, pada Khamis.
Jalaluddin berkata, proses pengumpulan data membabitkan keluasan sebenar tanah terbiar di setiap daerah di negeri ini sedang dilakukan.
“Tanah untuk tanaman padi sahaja, Negeri Sembilan ada sekitar 1,200 hektar namun hanya 600 hektar sahaja diusahakan. Jika kita dapat lipat gandakan usaha memajukan tanah ini, pasti bekalan beras mencukupi buat rakyat di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri amat menggalakkan semua golongan masyarakat untuk membabitkan diri dalam aktiviti pertanian khususnya menerusi program Muafakat Tani Negeri Sembilan.
“Sebanyak RM500,000 diperuntukan setiap tahun untuk membantu individu atau pihak berminat mengusahakan aktiviti pertanian dengan modal bantuan peralatan antara RM5,000 hingga RM10,000.
“Peralatan pertanian diberikan kepada individu yang mengusahakan pertanian atau penternakan. Contohnya, dia bela 50 ekor kambing, kekurangan modal buat pagar boleh mohon kepada jabatan untuk bantuan peralatan bagi membina pagar ini,” kata Jalaluddin lagi.