Kerajaan Negeri Nafi Tuduhan Burukkan Usaha Pemutihan Sekolah Agama Persendirian
SELANGOR, 16 Ogos 2023 – Kerajaan negeri Selangor menafikan tuduhan sesetengah pihak yang cuba memburukkan usaha pemutihan sekolah agama persendirian di negeri itu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, sebaliknya kerajaan negeri mengambil langkah sejak 2019 bagi membangunkan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor melibatkan 416 buah sekolah.
BACA JUGA: SOP Lombong REE Akan Diumumkan Segera – Sanusi
BACA JUGA: Pahang Mohon Kelulusan Kerajaan Persekutuan Bina Kolej Universiti Tahfiz dan Sains
BACA JUGA: Tiada Buku LGBT Dijual Dalam Pasaran Negara, JAKIM Perjelas Video Tular
Usaha itu dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan taraf institusi pendidikan negeri itu berasaskan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang gusar dengan peningkatan kejadian malang menimpa sekolah agama.
Dalam sebuah ciapan, Menteri Besar sementara Selangor, Amirudin Shari turut menegaskan bahawa perkara ini “telah dijawab semasa bulan Julai, dakwaan bahawa lebih 200 sekolah agama ditutup di Selangor adalah fitnah dan tidak berasas.”
Tambah Mohd Zawawi, usaha murni kerajaan negeri ini juga mendapat dokongan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai oleh 478 institusi sekolah agama persendirian.