Kerajaan Negeri Dibenarkan Mohon Operasi Pembenihan Awan
PUTRAJAYA, 13 Jun 2023 – Kerajaan Negeri yang ingin mendapatkan bantuan bagi menjalankan operasi pembenihan awam (OPA) boleh mengemukakan syor kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk dibuat penilaian.
Menerusi kenyataan media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan menjalankan kajian untuk melihat kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan bagi menjamin kejayaan OPA.
BACA JUGA: Pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat: Jalan Ditutup Sembilan Bulan Bermula Khamis Ini
BACA JUGA: Gaji Rendah Faktor Pelajar Tidak Sambung Belajar
BACA JUGA: Subsidi Buat Golongan ‘Kayangan’ Tidak Munasabah Diteruskan – PM
Menurutnya, pihaknya berharap usaha bersepadu itu boleh membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan sekali gus menjamin bekalan air kepada pengguna tanpa gangguan.
“OPA yang dijalankan adalah sebahagian usaha yang digembleng oleh pihak NADMA selaku agensi bencana pusat bersama agensi-agensi yang terlibat bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh cuaca kering.”
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan OPA kali kedua telah dilaksanakan di dua empangan Pulau Pinang atas permohonan Kerajaan Negeri itu melalui penyelarasan antara NADMA, METMalaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Operasi kali kedua ini diteruskan sehingga Selasa dan menyasarkan sekitar Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam di Pulau Pinang sebagai tindakan awal mengatasi penyusutan air di kedua-dua empangan itu.”
“Setakat hari ini, Empangan Air Itam mencapai peratus kapasiti air sebanyak 48.6 peratus dan Empangan Teluk Bahang pula sekitar 44.4 peratus,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, operasi ini menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang dengan membawa empat tangki mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan METMalaysia.
Terdahulu, operasi sama dijalankan di Pulau Pinang pada 2 hingga 4 Mei lalu dan berjaya menghasilkan 100 peratus hujan di kawasan yang disasarkan.
METMalaysia sebelum ini melaporkan Monsun Barat Daya (MBD) telah bermula pada 15 Mei lalu dan dijangka berlarutan sehingga September 2023.
Sepanjang MBD, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah menyebabkan kurang pembentukan awan dan mengubah keadaan cuaca menjadi lebih panas dan kering.