Tempatan

Kerajaan Negeri Bertanggungjawab Pindahkan Penduduk Taman Sri Muda – Zaharah Sulaiman

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 29 Disember 2021 – Kerajaan Negeri bertanggungjawab memindahkan penduduk Taman Sri Muda ke kawasan lain jika benar tempat itu pada asalnya adalah tempat tadahan air, kata Puan Zaharah Sulaiman daripada Persatuan Pengguna-Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Kerajaan Negeri bertanggungjawab alihkan penduduk Sri Muda ke tempat lain jika benar kawasan itu asalnya kawasan tadahan air tetapi dijual kepada pemaju untuk dibuat perumahan. Tempat itu tidak sesuai dijadikan perumahan. Mesti keluarkan penduduk.”

Berikutan bencana banjir yang berlaku, Puan Zaharah mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Pelan Pemulihan Bencana Negara (National Disaster Recovery Plan) supaya apabila terjadinya bencana di masa akan datang, pihak yang terlibat telah maklum dengan gerak kerja pengurusan bencana.

“Kerajaan yang paling banyak ada aset-aset yang boleh digunakan pada waktu bencana. Mangsa dah 70,000, aset yang dikeluarkan ATM tidak mencukupi. Bukan itu sahaja, NGO-NGO dan individu yang datang untuk menolong pun, jadi susah. Ditahan, macam-macam SOP diadakan. Bila ada National Disaster Recovery Plan, ataupun Pelan Pemulihan Bencana Negara, jadi kita tahu apa SOPnya dan ke mana kita perlu pergi.”

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar reka bentuk rumah diubah kepada yang bertiang tinggi terutama di kawasan rendah.

“Iklim cuaca dunia dah berubah. Semua perumahan mesti tinggi. Kalau nak buat rumah di tempat rendah, mesti ada rumah bertangga dan bertiang tinggi seperti rumah kampung dahulu. Rumah PPRT pun begitu. Tingkat bawah tidak boleh didiami.”

“Reka bentuk dan geografi kawasan rumah mesti diubah. Jangan buat di tempat rendah. Kalau nak buat, pastikan tiang rumah tinggi dan cerucuknya kuat supaya apabila air datang dengan tinggi dan kuat, rumah itu masih kukuh. Jika tidak dibuat begini, setiap tahun, setiap kali ada bencana, rakyat akan menanggung kerugian yang besar,” tambah beliau.

Mengakhiri kenyataannya dalam sidang media PPIM, “Banjir: Berfungsikah Jentera Kerajaan?” yang diadakan secara atas talian, Puan Zaharah sekali lagi menegaskan agar kerajaan mengambil iktibar dengan kejadian banjir yang berlaku dan segera mewujudkan National Disaster Recovery Plan untuk menghadapi bencana yang akan datang.

Beberapa hari lalu, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub menggesa pihak berkuasa untuk membuat siasatan sama ada wujud amalan rasuah dalam projek perumahan di Taman Sri Muda susulan kawasan itu sebelum ini dikatakan menjadi tapak takungan air banjir.

Siasatan semula itu perlu dilakukan bagi mencari kebenaran di sebalik pendedahan yang semakin hangat diperkatakan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: