Kerajaan Malaysia Mansuhkan Hukuman Mati Mandatori
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 13 Jun 2022 – Kerajaan Malaysia meluluskan pemansuhan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian namun tertakluk kepada budi bicara Mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar baru-baru ini.
Keputusan ini dicapai selepas pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Dato Sri Wan Junaidi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.
Dalam pada itu, Kerajaan menerima dan mengambil maklum akan cadangan yang diusulkan oleh Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Y.Bhg Tun Richard Malanjum.
Ia turut dianggotai pakar-pakar perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.
Dato Sri Wan Junaidi juga mengesahkan bahawa penelitian dan kajian lanjut akan dilaksanakan berhubung cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati namun dengan budi bicara Mahkamah.
Lanjutan kajian itu akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta penglibatan lain-lain Jabatan/Kementerian yang berkepentingan supaya pindaan akta berkaitan mengambil kira prinsip perkadaran (proportionality) dan keperlembagaan (constitutionality).
Kerajaan juga akan meneliti kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini, ujar beliau.
Jelasnya, “Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan Kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekaligus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara dalam penambahbaikan sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik.”
Mengakhiri kenyataan media itu, beliau menyatakan penghargaan pihak Kerajaan terhadap komitmen Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam menyediakan laporan kajian yang menjadi permulaan kepada perubahan sisten keadilan jenayah negara.