Kerajaan Madani Digesa Perketat Undang-Undang Jenayah Liwat
PUTRAJAYA, 20 Februari 2023 – Kerajaan Madani digesa menetapkan hukuman lebih berat terhadap pelaku jenayah liwat, khususnya melibatkan kanak-kanak bawah umur.
Menerusi kenyataan di laman Facebook penganalisa politik, Mohamad Shafiq bin Abdul Halim, beliau mempersoalkan, “Apakah usaha kerajaan MADANI melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian dalam Negeri (KDN) bagi menangani masalah liwat yang dilihat kian meruncing dalam Negara kita khususnya di Negeri Selangor bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak serta masa depan mereka.”
Menurut beliau, undang-undang sedia ada berkaitan jenayah liwat perlu dikaji semula.
“Cuba bayangkan pada 7 November 2022 baru-baru ini seorang lelaki hanya dijatuhkan hukuman lima tahun penjara dan enam sebatan setelah mengaku salah atas tuduhan meliwat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun. Setelah lima tahun dia akan keluar dan bertemu semula dengan mangsa yang berusia 19 tahun pada ketika itu yang boleh mendatangkan ancaman dan trauma kepada mangsa,” katanya.
Lebih membimbangkan, ujar beliau, mutakhir ini negara menyaksikan banyak laporan kes liwat, di mana yang terbaru melibatkan seorang lelaki didakwa di mahkamah seksyen atas pertuduhan meliwat anak kandungnya sendiri.
BACA JUGA: Tular Kes Buang Al-Quran, Polis Buka Siasatan
BACA JUGA: Aktivis Mahu Pindaan Akta Pencemaran Lebih Berat
BACA JUGA: Kementerian Usaha Jadikan Tapak Arkeologi Sg Batu Tapak Warisan Dunia
Beliau berpendapat, kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah dan golongan remaja lebih terdedah menjadi mangsa liwat berbanding usia lain. Ia bukan hanya mengakibatkan kecederaan fizikal malah turut mencalarkan maruah mangsa sekali gus menyebabkan trauma berpanjangan, khususnya bagi kanak-kanak terlalu muda dan mentah.
Tambah beliau, “Statistik jenayah liwat dari 2015-2018 menunjukkan 1,276 kes liwat direkodkan. Selangor dengan peningkatan kes liwat setiap tahun dimana 2015 (63 kes), 2016 (89 kes), 2017 (87 kes) dan 2018 (102 kes). 646 daripada jumlah kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.”
“Daripada pecahan kes liwat mengikut hubungan mangsa dengan suspek menunjukkan 694 kes melibatkan kenalan rapat dan paling menyedihkan apabila 56 kes melibat bapa sendiri, 24 kes melibatkan bapa tiri dan 43 kes melibatkan bapa saudara,” katanya.