Kerajaan Lantik Firma Luar Siasat Isu LRT, Termasuk Kemungkinan Disabotaj
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 12 November 2022 – Kerajaan melantik firma perunding bebas bagi menyiasat gangguan sistem LRT yang berlaku baru-baru ini serta kemungkinan berlakunya perbuatan sabotaj.
Menurut Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, ujian lanjut sedang dijalankan dan pengumuman akan dibuat pada jam 6 petang hari ini sekiranya perkhidmatan LRT sudah beroperasi semula.
Jelas beliau, isu tersebut dapat diselesaikan dengan melakukan penggantian modem serta bekalan kuasa bagi landasan sedia ada.
Biarpun begitu, siasatan terhadap punca kerosakan sistem kawalan kereta api automatik (ATC) masih belum dapat dikenal pasti.
Dalam pada itu, Prasarana Malaysia telah meminta bantuan daripada Thales Group yang juga pengeluar asal peralatan tersebut bagi menyiasat isu yang berlaku.
Pada 9 November lalu, pihak Rapid KL telah mengeluarkan notis bahawa terdapat gangguan dalam perkhidmatan LRT hingga mengakibatkan 16 stesen tidak akan beroperasi selama tujuh hari.
Susulan gangguan perkhidmatan ke atas pengangkutan awam terbabit, ramai penumpang yang meluahkan kekecewaan mereka sambil memuat naik rakaman video akan situasi yang berlaku.