Tempatan

Kerajaan Komited Capai 40% Penggunaan Pengangkutan Awam Menjelang 2030 

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2024 – Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dalam melaksanakan komitmen untuk mentransformasi landskap pengangkutan awam di Malaysia, dengan penekanan khusus di Lembah Klang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi satu kenyataan berkata masalah kepadatan kereta api dan ketersediaan bas yang masih pada tahap rendah menyebabkan kadar pemilikan kereta di Lembah Klang adalah antara yang tertinggi di dunia.

“Sasaran telah ditetapkan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019 – 2030 untuk mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2030.”

“Bagi mencapai sasaran tersebut, Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Pengangkutan telah menjalankan satu bengkel strategik pada 17 Mei 2024, bagi mengenal pasti pelaburan utama yang diperlukan untuk meningkatkan dan memperluaskan rangkaian pengangkutan awam.”

“Sejajar dengan itu, sebuah pelan komprehensif sedang dibangunkan, merangkumi strategi pelaburan dan pelan pelaksanaan yang menyeluruh. Pelan ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 1 Julai 2024.”

“Kerajaan sedang mempertimbangkan peningkatan tiga aspek utama dalam pengangkutan awam: perkhidmatan bas, rangkaian rel, dan ketersambungan ‘first and last mile’ yang bersepadu. Untuk perkhidmatan bas, usaha akan meliputi pengembangan ketersambungan dan liputan, peningkatan ketersediaan dan konsistensi, serta memperkenalkan lorong khas bas bersama sistem Kuala Lumpur Autonomous Rail Transit (KL ART) dan Bus Rapid Transit (BRT).”

“Rangkaian rel akan juga diperluas untuk meningkatkan perkhidmatan dan mempertingkatkan pengalaman penumpang. Selain itu, kerajaan akan menaik taraf hentian bas, laluan pejalan kaki, serta memperkenalkan Demand-Responsive Transit (DRT), perancang perjalanan bersepadu, dan pilihan mikromobiliti bagi memastikan ketersambungan yang lebih lancar dan cekap,” jelasnya.

Tambah beliau, inisiatif-inisiatif yang telah dikenal pasti dalam pelan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, memastikan pendekatan yang teratur, selaras dengan matlamat ekonomi dan pembangunan negara yang mana usaha berkenaan akan menjadi salah satu tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: