Tempatan

Kerajaan, GLC & Swasta Gunakan Bahasa Melayu Dalam Semua Perkara – PM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

JOHOR BAHRU, 30 November 2021- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini menegur pihak swasta, syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan yang tidak mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam program mereka.

Ia selepas beliau mendapati Bahasa Inggeris lebih digunakan termasuk dalam mesyuarat melibatkan agensi terlibat dan GLC.

“Mesyuarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris. Malah, penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini menjadi lumrah dengan tidak juga menggunakan Bahasa Melayu.”

Justeru, beliau berharap selepas ini pihak berkenaan dapat menggunakan Bahasa Kebangsaan itu dalam segala urusan termasuk masyuarat dan persidangan.

“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan Bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan kita sendiri,” kata Perdana Menteri dalam Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tambah Ismail Sabri, Keluarga Malaysia sepatutnya perlu berbangga Bahasa Kebangsaan itu berada di tangga ke-10 daripada 20 bahasa yang popular seluruh dunia.

Keadaan ini tidak berlaku kepada semua bahasa utama dunia.

“Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia.”

“Dengan itu, adalah tidak mustahil jika bilangan penutur Bahasa Melayu di dunia ini, yang sekarang ini sudah pun melebihi 300 juta orang, malah akan lebih berkembang, sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan ‘lingua franca‘ Bahasa Melayu.”

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan sebelum ini dilaporkan menyatakan penghargaan dan rasa bangganya dengan tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memilih menggunakan Bahasa Melayu di Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021.

“Adalah wajar untuk kerajaan memastikan bahawa Bahasa Melayu digunakan atas dasar Bahasa Kebangsaan dalam konteks harian dan urusan. Ini adalah kerana selama ini Bahasa Inggeris atau Mandarin telah diberikan keutamaan di syarikat perbadanan milik kerajaan serta swasta,” ujar beliau.

Leave a Reply

Back to top button