Kerajaan Disyor Hapuskan Peraturan Bebas Rekod Jenayah
KUALA LUMPUR, 11 April 2023 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disyorkan untuk memansuhkan peraturan khusus pelantikan kakitangan awam yang menetapkan mana-mana calon tidak boleh memiliki rekod jenayah.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abd Ghani berkata, tindakan itu diyakini mampu memberi gambaran positif dan memberi dorongan sektor swasta supaya turut menggaji banduan.
BACA JUGA: Polis China Upah Pengintip Larang Muslim Uyghur Berpuasa
BACA JUGA: Tragedi Basikal Lajak: Sam Ke Ting Bebas Segala Tuduhan
BACA JUGA: Peniaga Menu Rahmah Diingatkan Jangan Harapkan Subsidi
“Ada segelintir majikan sektor swasta sudah memulakan inisiatif ini, tetapi tak dinafikan sebahagian lagi masih gusar dan terpalit dengan stigma berkaitan banduan.”
“Namun, gambaran dan tanggapan berbeza berkaitan golongan ini akan terhasil, jika Kerajaan sendiri menyerap golongan ini ke dalam sektor awam.”
Katanya, Kerajaan perlu menjadi contoh dengan terlebih dahulu memulakan inisiatif menggaji banduan dalam sektor awam sebelum meminta sektor swasta berbuat demikian.
Ketika ini, syarat pelantikan perkhidmatan awam menetapkan semua calon tidak boleh mempunyai apa-apa rekod jenayah, selaras Fasal 14.2.i Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Kaedah Pelantikan Pegawai Dalam Perkhidmatan Awam dan Urusan-Urusan Lain Berkaitan Pelantikan.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata lebih 70,000 banduan di negara ini dikenal pasti mempunyai nilai produktif untuk menjadi sumber tenaga kerja tempatan, sekali gus mampu membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Oleh itu, kementerian menggalakkan lebih ramai majikan membuka peluang menggaji banduan iaitu orang di bawah parol (ODP) atau orang diselia (ODS) dan bekas banduan, berbanding menggaji pekerja asing.
Angka itu jika dimanfaatkan oleh majikan di negara ini dapat membantu menangani masalah kekurangan pekerja yang dihadapi ketika ini.