Kerajaan Diminta Siasat Dan Perbetulkan Semula SUHAKAM – Tun Mohammed Hanif Omar
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 18 Disember 2021 – “Kerajaan diminta menyiasat dan memperbetulkan semula Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) agar pertubuhan itu bergerak di landasan yang sepatutnya,” tegas Tun Mohammed Hanif Omar.
Menurutnya, rakyat mesti mendesak Kerajaan untuk mengubah Akta SUHAKAM jika ianya masih tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ditanya sama ada perlukah pesuruhjaya SUHAKAM sedia ada disiasat dan dipecat, mantan Ketua Polis Negara itu menjawab, “Kita mesti dengan lebih teliti dahulu melihat kembali Akta SUHAKAM. Apakah Akta ini menghendaki Pesuruhjaya SUHAKAM menganjur European Human Rights atau pun apa bentuk human rights yang diperjuangkan Suruhanjaya itu.”
“Saya percaya, CENTHRA (Centre For Human Rights Research And Advocacy) boleh memberi pencerahan terhadap perkara itu,” tambahnya.
Tun Mohammed Hanif kemudiannya menyentuh mengenai negara-negara yang menolak piawaian European Human Rights dan menolak aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
“Kita lihat pada ketika ini, selepas Britain keluar daripada European Union (EU), negara itu sedang menolak sepenuhnya piawaian European Human Rights dan menggubal piawaian baru yang mengambil kira mores warga Britain sendiri.”
“Selain itu, negara Poland juga turut sama menolak aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), takkanlah kita pula nak menerima agenda ini yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan, adat resam, resmi budaya dan agama Islam negara kita sendiri,” kata beliau.
Tun Hanif menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh menerima sepenuhnya nilai-nilai hak asasi manusia yang diperjuangkan SUHAKAM kerana perkara itu hanya diamalkan di negara-negara Barat merangkumi LGBT serta perkahwinan sejenis dan aktiviti tidak bermoral yang lain dan sebagainya.
Susulan perkara ini, beliau mempersoalkan di mana menteri yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas SUHAKAM?
“Malah, penguatkuasa agama juga tidak boleh berdiam diri walaupun mereka tidak bersetuju dengan SUHAKAM.”
Di samping itu, Kerajaan perlu segera meneliti semula undang-undang tubuh SUHAKAM selain perlu meneliti ketelusan setiap Laporan Tahunan yang melaporkan kesemua aktiviti SUHAKAM sepanjang tahun dan turut mengutarakan pandangan serta syor berkaitan pelbagai isu-isu hak asasi manusia di Malaysia.
Pandangan serta syor tersebut haruslah didokong oleh semangat tanggungjawab kolektif semua menteri dan pemimpin.
Oleh itu, “Kita perlu menolak usaha mana-mana pemimpin negara yang mahu menormalisasi aktivisi songsang LGBT di pentas mana pun.”
“Kebebasan yang dijamin dan dimaksudkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bukan bermaksud kebebasan mutlak seperti yang diperjuangkan SUHAKAM, sebaliknya ia mesti dipertanggungjawab di bawah had yang sewajarnya berlandaskan perundangan dan Islam,” tegas beliau mengakhiri kenyataan.