Antarabangsa

Kerajaan Britain Bayar Rakyat Yang Tumpangkan Pelarian Ukraine

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LONDON, 15 Mac 2022 – Kerajaan Britain akan membayar sebanyak 350 pound (RM1,914) setiap bulan kepada mana-mana rakyatnya yang sudi menumpangkan rumah mereka kepada pelarian dari Ukraine yang terjejas akibat peperangan.

Menurut Menteri Perumahan Michael Gove, inisiatif skim baharu yang digelar sebagai ‘Rumah untuk Ukraine’ itu membenarkan pelarian perang masuk ke Britain dan menetap bersama penduduk setempat, meskipun mereka tidak mempunyai pertalian keluarga.

Justeru, mana-mana rakyat Britain yang sudi menumpangkan rumah mereka kepada pelarian dalam tempoh minimum selama enam bulan akan dibayar oleh kerajaan setiap bulan.

Tambah Michael Gove, pihak yang berminat menawarkan bilik atau rumah mereka untuk dihuni pelarian Ukraine perlulah bebas rekod jenayah dan premis menepati standard yang dibenarkan.

Di samping itu, di bawah skim baharu tersebut juga, orang awam, badan amal, perniagaan dan kumpulan komuniti boleh menawarkan kemudahan kepada pelarian Ukraine menerusi laman web khas yang disediakan kerajaan bermula minggu depan.

Kerajaan Britain memaklumkan bahawa mereka akan menghulurkan bantuan semampu yang boleh dan, “United Kingdom (UK) sentiasa berdiri bersama Ukraine dalam menghadapi saat sukar ini dan rakyat Britain juga memahami keperluan penduduk Ukraine.”

Terbaru, tentera Rusia dilaporkan cuba menyerang Kyiv dari dua arah bertentangan iaitu di sempadan timur laut dan barat laut Ukraine.

Orang awam telah melarikan diri ke bandar Kyiv ekoran pertempuran sengit berlaku di kawasan-kawasan sekitar seperti Hostomel, Bucha and Irpin.

Leave a Reply

Back to top button