Tempatan

Kerajaan Belanja Kos Tinggi Tangani Isu Jerebu – Nik Nazmi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2023 – Malaysia terpaksa menanggung kos yang sangat besar akibat jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kemasukan ke hospital telah meningkat dua kali ganda sejak kualiti udara telah terjejas.

“Kos ini sangat besar kerana melibatkan kesan kepada kesihatan rakyat. Kemasukan ke hospital meningkat secara ketara dan apabila diterjemahkan dalam hari-hari, pekerja juga tidak dapat ke tempat kerja.”

Walau bagaimanapun, Nik Nazmi tidak mendedahkan jumlah kos sebenar yang telah digunakan namun akan memperincikan secara bertulis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad [PN-Bagan Serai] dalam persidangan Dewan Rakyat berhubung kos yang dibelanjakan kerana terdapat 116 titik panas dikesan menyebabkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat di Malaysia.

Dalam pada itu, Nik Nazmi sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai akta khusus yang boleh dikuatkuasakan kepada syarikat atau negara yang menjadi punca kepada jerebu rentas sempadan di negara.

“Perundangan yang kita ada iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bertujuan mencegah, menghentikan dan mengawal pencemaran alam sekitar yang dikuatkuasakan dalam negara sahaja.”

Justeru katanya, pendekatan diplomasi dan rundingan merupakan jalan terbaik untuk menangani isu pencemaran udara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: