Tempatan

Kerajaan Abaikan Pekerja Sektor Swasta

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SUBANG JAYA, 03 Mac 2022 – Kerajaan Malaysia dianggap tidak berusaha untuk membela nasib pekerja di sektor swasta apabila mereka tidak menerima kenaikan gaji tahunan, ujar Datuk Abdul Halim Mansor, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Hal ini berikutan, kebanyakan majikan tidak memasukkan polisi kenaikan gaji tahunan dalam perjanjian antara syarikat dan pekerja.

Tindakan tersebut menyebabkan ramai pekerja di sektor swasta menerima kadar gaji yang sama sewaktu mereka mula bekerja dan terpaksa bergantung pada kerja lebih masa sebagai bayaran tambahan.

Datuk Abdul Halim berkata, pekerja sektor swasta kini bergantung sepenuhnya kepada pelaksanaan gaji minimum yang tidak setimpal dengan keadaan ekonomi semasa negara ini.

Kebanyakan dari mereka juga tidak menerima sebarang imbuhan kenaikan tahunan dari majikan.

Ujar beliau, keadaan ini turut menafikan hak pekerja yang sudah lama berkhidmat walaupun mereka menunjukkan prestasi yang baik bertahun-tahun.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata sebanyak 1.5 juta daripada 9.4 juta pekerja di Malaysia masih menerima gaji di bawah RM3,000 walaupun sudah bekerja selama lapan hingga 10 tahun.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan ini termasuklah golongan siswazah yang sanggup menerima gaji rendah antara RM1,001 hingga RM 1,500, asalkan mempunyai pekerjaan dan pendapatan.

Melihat situasi berkenaan, Datuk Abdul Halim Mansor turut mempersoalkan sama ada pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mencukupi atau tidak untuk menampung kos sara hidup para pekerja kerana Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia pada tahun 2021 ialah RM2,208.

Tambahnya, hanya lapan hingga sembilan peratus sahaja majikan sektor swasta yang membuat perjanjian mengenai kenaikan gaji pekerjanya. Lebih teruk lagi, ada sesetengah dari mereka menafikan perkara ini dan bersikap lepas tangan.

Beliau menyeru pihak kerajaan meminda Akta Kerja 1955 dengan memasukkan polisi peruntukan kenaikan gaji tahunan mengikut prestasi kerja, kadar inflasi, indeks harga pengguna serta mengambil kira tahap ekonomi negara.

Pihak kerajaan juga seharusnya mewajibkan majikan terutamanya di sektor swasta untuk meletakkan polisi kenaikan gaji tahunan dalam isi kandungan perjanjian antara majikan dan pekerja.

Leave a Reply

Back to top button