Surat Pembaca

Kepimpinan SUHAKAM Biadap Dan Berani Melanggar Sumpah YDPA – Aktivis Masyarakat

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Saudara Pengarang,

SUHAKAM adalah satu badan rasmi kerajaan Malaysia. Atas fakta ini, maka ia terikat dengan Sumpah Jawatan Kebawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong dalam Perkara 37 (4) Perlembagaan Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:

“Wallahi: Wabillahi: Watallahi:

Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyhurkan dan akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.”

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah menjelaskan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan namun agama-agama lain masih boleh dianuti dan diamalkan sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia di sisi Perlembagaan negara.

Perkara 11(4) menegaskan bahawa penyebaran agama selain daripada agama Islam kepada orang Islam adalah dilarang sama sekali terutamanya dari segi penyebaran dakwah.

Selain itu, peruntukan ini juga secara tidak langsung memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam dari menyebarkan atau mengembangkan ajaran serta kepercayaan mereka kepada orang Islam.

Berdasarkan kuasa tersebut, maka kerajaan-kerajaan negeri boleh meluluskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam.

Hampir kesemua negeri di Malaysia mempunyai enakmen khas yang mengawal penyebaran dakwah kepada orang Islam, kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang.

Antara enakmen yang digubal oleh kerajaan negeri ialah Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Terengganu, 1980 (Enakmen No 1/1980); Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No 1/1998); dan Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Johor, 1991 (Enakmen No 2 /1991).

Perkataan ‘Agama bukan Islam’ yang digunakan di dalam enakmen ini ditafsirkan sebagai meliputi agama-agama seperti Kristian, Hindu, Buddha, Sikh atau apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana agama tersebut.

Antara kesalahan yang tertakluk di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan dikalangan orang Islam) 1988 ialah;-

“Liberalisasi ini adalah agenda ke arah agama atau kepercayaan syaitan yakni suatu agama kepercayaan yang bertuhankan nafsu dalam erti kata lain ianya tidak bertuhan. Liberalisasi ini merupakan suatu fahaman yang hanya menurut akal semata-mata dan ini adalah premis yang pertama yang kita perlu dikenal pasti. Ia berasaskan norma-norma yang dibina oleh manusia. Dari asas itu sahaja ia sudah bercanggah dengan Rukunegara.”

Jadi jika menurut Perlembagaan Persekutuan sahaja, tidak boleh menyebarkan fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam dan kepada orang Islam dan ini adalah sumpah keramat YDPA.

Apabila SUHAKAM sendiri sebagai sebuah institusi kerajaan menyebar fahaman bertentangan dengan nilai Islam, maknanya SUHAKAM sendiri sudah mencabar YDPA.

Kerana yang akan menjawab berkenaan sumpah itu adalah YDPA. Kerana Baginda yang bersumpah. Jadi atas asas Rukunegara dan sumpah DYMM SPB YDPA maka SUHAKAM mesti dirombak sebab telah bercanggah dengan asas-asas Negara.

Masalahnya ialah mengapa menteri melantik pesuruhjaya-pesuruhjaya yang berfahaman liberal ini untuk mengemudi SUHAKAM?

Kita tidak salahkan badan SUHAKAM itu, kerana objektif penubuhannya memang untuk mendepani masalah Hak Asasi Manusia.

Tetapi menteri yang ada kuasa melantik. Siapa suruh mereka melantik orang-orang yang pemikirannya songsang dalam agensi kerajaan?

Jadi orang yang melantik itu yang perlu bertanggunjawab kepada Tuanku YDPA.

Selain itu, tidak sepatutnya dilantik pensyarah-pensyarah dari golongan wahabi di universiti-universiti, bukankah orang-orang yang berfahaman wahabi ini sudah dikenali sebagai menganut ajaran yang bertentangan dengan ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Islam adalah agama Persekutuan dan manhaj rasminya ialah Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Kita bukan Islam Arab Saudi, Islam Iran tetapi Islam Malaysia yang secara jelasnya adalah Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Selain daripadanya maka ianya akan tertolak secara total, tidak ada kompromi.

Majlis Muzakarah dan Majlis Fatwa pun jelas dari sudut perundangan, Islam adalah Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Bukannya sama ada relevan ataupun tidak relevan SUHAKAM ini tetapi, persoalan yang lebih penting adalah, adakah ia menjadi ancaman kepada kesejahteraan, keamanan dan perpaduan negara.

Pertama, golongan ini tidak menghormati Rukunegara, secara biadap melanggar sumpah Tuanku, menyebar fahaman yang bertentangan dengan pengangan majoriti, jadi bermakna mereka hendak buat negara ini menjadi porak peranda. Antara dua sahaja, sama ada mereka ini musuh atau orang kita.

Apa yang jelas Kerajaan selepas merdeka gagal membendung fahaman Wahabi ini.

Justeru, saranan saya adalah supaya rakyat, agamawan mesti berani menyedarkan rakyat tentang apakah itu agama Manhaj Islam di Tanah Melayu.

Kita adalah orang Melayu Islam, kita adalah Ahlil Sunnah Wal Jamaah, maka kita sebagai masyarakat kita kena gigit perkara ini.

Pemimpin itu adalah sebahagian dari kita, jadi kalau masyarakat tidak berubah, masyarakat tidak mula tolak orang-orang yang berfahaman selain dari Ahli Sunnah Wal Jamaah nescaya negara kita akan berada di dalam bahaya.

Misalnya pilihan raya yang akan datang kita tolak habis-habisan semua pemimpin-pemimpin wahabi, sekular, liberal dan sebagainya ini.

Saya tidak mahu bercakap soal agama. Kita orang Melayu, kuatkan jati diri kita sebagai orang Melayu dan jati diri orang Melayu itu tidak boleh terpisah daripada Manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang bertauhidkan Asyairah dan Maturidiah. Fekah Imam Syafie, Tasawuf Al Ghazali. Ini jati diri bangsa Melayu yang sebenarnya. Daripada berkurun-kurun lamanya orang Melayu yang sejati inilah dia kita punya tapak beragama.

Kita kuatkan Rukunegara, Percaya Kepada Tuhan, kita muliakan kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

Kita bercakap kita ini siapa. Kita ini rakyat Malaysia iaitu rakyat Tanah Melayu daripada dahulu berzaman-zaman, beratus tahun negara ini adalah Ahlul Sunnah Wal Jamaah bukan Syiah, bukan Wahabi, bukan Liberal bukan Sekular. Kita bangsa yang berpegang kepada al Quran al karim.

Mesej saya adalah, menghadapi cabaran liberalisasi dalam globalisasi ini. Apa yang perlu dibuat adalah perkuatkan jati diri bangsa Melayu yang sejati.

Agensi-agensi kerajaan perlu patuh kepada Perlembagaan, patuh kepada Rukunegara. Pertamanya, Percaya kepada Tuhan itu mesti benar-benar percaya. Jadi fahaman seperti liberalisasi yang didokong oleh SUHAKAM menolak kewujudan Tuhan maka secara terang menolak prinsip Rukunegara itu sendiri.

Sekarang ini kita mesti berani nyatakan hak kita, ini Perlembagaan kita dan ini negara kita. Jangan lagi berselindung dan takut untuk menyatakan kebenaran walaupun pahit.

Aktivis Masyarakat

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: