KEPENTINGAN DIGITALISASI DEMI MEMASTIKAN KESELAMATAN TERKAWAL SEPANJANG TEMPOH PANDEMIK – MTEM
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) adalah sebuah pertubuhan naungan yang mewakili lebih dari 50 pertubuhan ekonomi Melayu bukan-kerajaan di peringkat kebangsaan. Platform kebangsaan MTEM adalah yang pertama diwujudkan di Malaysia dan mewakili lebih dari 500,000 perniagaan Melayu.
1. Dalam keadaan semasa yang dihadapi ketika ini iaitu wabak Covid-19, semua industri perlu bekerjasama dalam memastikan kesemua industri berusaha mencapai standard keselamatan tertinggi untuk terus kekal berdaya saing. Maka, langkah berubah ke arah digitalisasi amatlah penting bagi memastikan bahawa keselamatan terkawal sepanjang tempoh pandemik.
2. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kita patut mengambil kesempatan untuk menilai semula sistem pentadbiran dan operasi. Kita dapat melihat bahawa kluster kilang dan kluster tempat kerja semakin meningkat dan berleluasa.
3. Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi pihak pengurusan syarikat untuk menguruskan data dengan lebih jelas mengenai sektor-sektor ini dalam keadaan semasa yang semakin terjejas dengan wabak Covid-19. Ini merangkumi pekerja awam, swasta termasuklah pekerja asing.
4. Oleh itu, segala transaksi tanpa sentuh mahupun pembayaran secara digital amatlah penting demi memastikan rantaian Covid-19 terhapus. Saya dapat melihat terdapat sistem yang mampu membantu banyak pihak terutama di tempat kerja. Sebagai contoh, baru-baru ini kerjasama antara CIDB dan Bayo Pay telah membuka jalan penyelesaian yang kreatif bagi membantu syarikat pembinaan dan juga pekerjanya dari segi penyelesaian untuk pembayaran dengan memperkenalkan “Kad Hijau”.
Berikut adalah faedah Kad Hijau;
a. Pekerja termasuk pekerja asing menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kad bank bagi menyimpan gaji mereka tetapi dengan adanya Kad Hijau tersebut membolehkan pekerja asing menyimpan dan membuat pembelian dengan hanya mengunakan kad hijau dan aplikasi yang tersedia dalam telefon pintar mereka.
b. Ketika kita sedang sibuk mencari jalan untuk mendigitalisasikan industri ini, seharusnya kita beringat apabila ia melibatkan pengurusan pekerja asing, ia juga akan melibatkan masalah keselamatan negara. Oleh yang demikian, adalah penting untuk memastikan bahawa terdapat juga penglibatan dari pihak-pihak tempatan.
c. Mampu mengurangkan penyebaran wabak Covid-19 dengan praktik pengunaan pembayaran tanpa sentuh.
d. Malah dengan kad ini kita boleh kenal pasti di mana tempat tinggal mereka yang boleh dilawati pihak berkuasa sekiranya ia selari dengan akta, yang menjadi punca penularan virus di kalangan mereka.
5. Hal ini juga telah disokong oleh Datuk Shafie Mammal, selaku Pengerusi UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) dan Setiausaha Am ASEAN Services Employees Trade Union Council (ASETUC) yang telah mengetengahkan bahawa banyak manfaat dengan adanya teknologi dan sinergi tersebut dalam industri di Malaysia. Kini telah terbukti bahawa syarikat tempatan seperti Bayo Pay juga mampu membuat pembangunan teknologi.
6. Saya juga menyokong idea yang telah dibentangkan oleh Datuk Shafie B.P Mammal bahawasanya Bayo Pay perlu mengambil peluang ini untuk mengembangkan perkhidmatan Kad Hijau tersebut kepada sektor lain termasuklah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), syarikat-syarikat insurans dan termasuklah syarikat besar seperti Sime Darby Plantations dan FELDA.
7. Dengan kerjasama ini maka terbuktilah bahawa kini Malaysia menjadi sebuah negara yang semakin maju apabila syarikat-syarikat digital khususnya fintech telah memberi manfaat yang berguna kepada negara dan rakyat Malaysia. Tidak dinafikan dengan perubahan teknologi terkini yang semakin maju, Malaysia juga bakal menjadi salah satu negara yang maju di dunia kini. Selain kerjasama CIDB & Bayo Pay, lagi usahasama inovasi tempatan adalah seperti SoukAsia yang bekerjama dengan DPMM untuk meningkatkan penerimagunaan e-dagang sebagai platform masa depan untuk PKS berasaskan Syariah dan Halal yang masih rendah.
8. MTEM juga mengingatkan pihak yang bertanggungjawab untuk tidak mengambil mudah inisiatif digitalisasi dalam agensi yang melibatkan keselamatan dalam negara termasuklah dalam urusan pengurusan pekerja asing. Kita bukan sahaja perlu utamakan solusi yang dihasilkan tenaga kerja tempatan tapi perlu juga dipastikan mereka yang terlibat atau yang mendapat laba, berintegriti tinggi dan tidak tercalar dengan gejala rasuah dan mempunyai penglibatan dengan kartel pemerdagangan manusia atau sebagainya.
Sekian,
Ahmad Yazid Othman
Felo Kanan,
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)