Surat Pembaca

Kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor: Surat Bantahan Pembinaan SJKC Too Joon Hing Bandar Kinrara – BERTINDAK

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Saudara Pengarang,

4 November baru-baru ini, Badan Bertindak Bandar Kinrara (BERTINDAK) telah menghantar surat bantahan menukar tapak sekolah kebangsaan (SK) kepada pembinaan SJKC Too Joon Hing di Jalan 5B Bandar Kinrara kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Berikut merupakan isi kandungannya.

Tarikh : 04 November 2021
Yang Berusaha Puan Hajah Anisman binti M. Noh
Ketua Jabatan
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor

Yang Berusaha Puan Hajah Anismah yang saya hormati,

Per: BANTAHAN SOKONGAN MENUKAR TAPAK SEKOLAH KEBANGSAAN KEPADA PEMBINAAN SJKC TOO JOON HING DI JALAN 5B BANDAR KINRARA, 47180 PUCHONG, SELANGOR

Merujuk kepada perkara di atas, dengan ini saya seperti nama di bawah, membuat bantahan rasmi kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor kerana memberi surat sokongan rujukan JPNS.PEMB 200-2/9/3 (33) bertarikh 27hb Mac 2019 kepada Pejabat Timbalan Menteri, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Surat sokongan ini tidak mempunyai data komprehensif, mempunyai kajian lapangan yang tidak menyeluruh serta ulasan yang cacat dan berat sebelah untuk memihak kepada permohonan SJKC Too Joon Hing.

Surat ini yang ditandatangani oleh Tn Hj Mohd Salleh bin Mohd Kassim, genap 33 hari sebelum persaraan beliau sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, mengandungi maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan.

1. Tapak Lot Lot PT 3418, HSD 160756 di Jalan 5B, ternyata terletak dalam kawasan perumahan Bandar Kinrara dan BUKAN di Bukit Jalil. Fakta ini TIDAK dinyatakan dengan jelas.

2. SJKC Too Joon Hing adalah sekolah baharu yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dibangunkan di Dengkil, Sepang yang TIDAK ada keperluan mendesak untuk sebuah SJKC pada masa permohonan sekolah baharu ini dibuat. Ini satu PENIPUAN yang dilakukan oleh pemohon sekolah. Perkara ini TIDAK diketengahkan dalam laporan JPNS.

3. Merujuk kepada penulisan Lan Tian dari parti MCA, KPM telah meluluskan tapak untuk memindahkan SJKC Too Joon Hing dari Dengkil, Sepang ke Taman Putra Prima, Puchong. Fakta ini TIDAK dinyatakan dan TIADA ulasan kenapa tapak ini TIDAK dimanfaatkan dalam laporan JPNS. Ini MENYEMBUNYIKAN fakta.

4. Ulasan JPNS melaporkan kepadatan SJKC yang berhampiran iaitu Yak Chee dengan 3,500 murid (3,252 carian atas talian) dan Shin Cheng (Harcroft) dengan 2,094 murid (1,980 carian atas talian) digunakan sebagai justifikasi untuk menyokong pembinaan SJKC Too Joon Hing. Laporan JPNS TIDAK menyenaraikan wujudnya SJKC Kheng Chee dengan 1,526 murid, SJKC Chee Wen dengan 1,794 murid, dan SJKC Lai Meng yang dalam lingkungan kawasan yang sama yang boleh memenuhi keperluan akan datang.

5. Ulasan JPNS menyatakan SK Seksyen 1 Bandar Kinrara dengan 1,849 murid, dan SK Seksyen 4 dengan 2,053 murid (2,112 carian atas talian) tetapi TIDAK menyebut SK Seksyen 2 dengan 1,313 murid serta SK Seksyen 3 dengan 1,552 murid yang menampung penduduk Fasa 4 hingga 9 Bandar Kinrara serta seluruh kawasan perumahan Taman LTAT, Taman Damai Utama, Taman Kinrara Residences serta seluruh kawasan Puncak Bukit Jalil. Fakta ini juga TIDAK diambil kira.

6. Ulasan JPNS juga TIDAK melaporkan bahawa SK Seksyen 1 dan Seksyen 2 terpisah dari sebahagian besar Bandar Kinrara dari segi lokasi geografinya dan keselamatan murid-murid oleh Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). Ini satu KESILAPAN yang amat ketara.

7. Laporan JPNS secara bertulis menyatakan SJKC Too Joon Hing akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan yang majoritinya BUKAN berbangsa Cina. Penempatan 1,000 murid dengan adat dan bahasa Cina dalam kawasan perumahan penduduk bangsa Melayu akan pasti menimbulkan pelbagai masalah sosial dan ketegangan budaya. Impak sosial ini sengaja TIDAK diberikan perhatian.

8. JPNS juga GAGAL dalam tanggungjawabnya apabila TIDAK membuat kajian menyeluruh untuk mendapat pandangan penduduk setempat Bandar Kinrara tentang pemindahan SJKC Too Joon Hing dari Taman Prima Putra ke Bandar Kinrara. Sensitiviti penduduk bangsa Melayu TIDAK diambil peduli.

9. Bandar Kinrara mempunyai sebanyak 14,516 unit kediaman. Ini tidak termasuk bilangan kediaman di Taman LTAT, Taman Damai Utama, Taman Kinrara Residences, serta Taman Puncak Jalil. JPNS telah GAGAL dalam menyediakan prasarana yang cukup dan kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran kepada keluarga di sekitar kawasan-kawasan tersebut. JPNS telah GAGAL untuk memberi peluang–peluang pendidikan yang sama kepada semua warganegara Malaysia kerana memilih untuk memperkembangkan dan membiayai sistem pendidikan yang TIDAK menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa Kebangsaan.

10. JPNS GAGAL untuk menyatukan semua bangsa bagi mencapai visi untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara dengan memupuk ketidaksamaan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Visi pendidikan berkualiti insan terdidik negara sejahtera, adalah sesuatu ungkapan yang TIDAK ada makna di sisi bangsa yang TIDAK mempedulikan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

11. Bahagian Pembangunan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor adalah bertanggungjawab untuk membangunkan infrastruktur pendidikan yang telah dirancang dengan kos efektif dan menyelaraskan pelaksanaan projek-projek fizikal pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun kajian lapangan yang disediakan TIDAK mencerminkan kesungguhan JPNS untuk memenuhi setiap fungsi jabatan berkenaan, seperti yang tersenarai dalam laman sesawang JPNS.

Ingin saya berkongsi ulasan pakar Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyifatkan penempatan SJKC Too Joon Hing di Bandar Kinrara adalah suatu pencerobohan struktur sosial Melayu.

Juga menyentuh isu SJKC TOO JOON HING di Bandar Kinrara pula, pada 17 April 2021 lalu, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia “segera bertindak supaya menukarkan status SJKC TOO JOON HING di Bandar Kinrara kepada sekolah kebangsaan”.

“Kalau beri alasan dah diluluskan dan ada mengikut spesifikasi sekian-sekian, masih boleh kita ubah suai, tapi bukan meneruskan pembinaan SJKC”.

Oleh kerana pemaju atas arahan jawatankuasa pembinaan sementara SJKC Too Joon Hing telah memulakan kerja-kerja tanah sejak bulan April 2021, saya dengan ini memohon supaya aduan saya ini mendapat maklum balas dari pihak JPNS dengan kadar segera.

Untuk makluman Yang Berusaha Puan Hajah Anismah, saya telah membuat satu laporan polis bertarikh 25 Mei 2021 berkaitan perkara ini.

Wasalam,

Hj Zainol Talib,
Setiausaha Jawatankuasa Penaja BERTINDAK

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button