Kenyataan Provokatif: P. Ramasamy Disiasat Polis
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 23 Februari 2022 – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy disiasat pihak polis susulan kenyataannya di laman Facebook yang mengaitkan pihak berkuasa agama Islam Perlis dengan istilah-istilah yang disifatkan provokatif.
Menurut laman berita Harian Metro antara istilah-istilah provokatif tersebut adalah “pengislaman unilateral”, “penculikan”, “manipulasi”, “paksaan” dan “ancaman”.
BACA: Polis Mesti Ambil Tindakan Terhadap Pihak Berkuasa Agama Perlis – P. Ramasamy
BACA: Enakmen Islam Perlis Bertentangan Keputusan Mahkamah Persekutuan – Dr P. Ramasamy
BACA: Kenyataan Dr P. Ramasamy Bersifat Provokatif Dan Melampau – Pengerusi PEMBELA
P. Ramasamy dalam hantaran tersebut menyatakan bahawa pihak berkuasa agama Islam Perlis telah melanggar undang-undang secara terang sekiranya mereka bertindak menculik dan mengislamkan anak-anak Loh Siew Hong.
“Jika anak-anak Loh diculik, ditukar agama tanpa keizinan dan diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa agama di Perlis, ini serupa dengan penculikan.”
“Ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa agama Islam di Perlis tidak menghormati dan melanggar undang-undang secara terang,” ujarnya dalam hantaran tersebut.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Abd Jalil Hassan, siasatan sedang dijalankan pihak polis di bawah Seksyen 504 dan 505(c) Kanun Keseksaan, dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan adalah berkaitan pengeluaran kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum manakala Seksyen 504 adalah berkaitan kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula adalah berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
P. Ramasamy, dalam sebuah hantaran di laman Facebook menyatakan bahawa beliau sedang disiasat pihak polis, namun beliau juga telah membuat laporan polis kebatas pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan “melampaui batas” terhadapnya dan rakan-rakan sekerja beliau.
“Saya bersedia untuk disiasat oleh polis, tetapi pada masa yang sama saya telah membuat laporan polis terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang melampaui batas dan keterlaluan terhadap saya dan rakan sekerja saya,” katanya.