Kenyataan PM Tidak Tepat, Hina Orang Melayu
KUALA LUMPUR, 04 April 2023 – “Bukan sahaja gambaran terhadap sikap orang Melayu itu tidak tepat malah dari satu segi dilihat beliau menghina orang Melayu. Kalaulah benar Melayu ini angkuh dan tidak melayan bangsa lain dengan baik, saya rasa sudah lama bangsa lain tidak wujud di negara ini,” tegas Haji Aminuddin Yahaya, Timbalan Pengerusi GTA dalam sebuah catatan di laman Facebook.
Beliau berkata sedemikian selepas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengingatkan orang Melayu Islam agar tidak terlalu selesa dan angkuh hingga meminggirkan kelompok lain.
Anwar Ibrahim juga menggesa masyarakat Melayu Islam mencontohi rakyat Cambodia yang majoriti beragama Buddha begitu menghormati minoriti Muslim di sana.
BACA JUGA: KKM Tekad Tangani Masalah Doktor Kontrak – Menteri
BACA JUGA: Pertubuhan Islam Bantah Pembinaan Patung Mazu
BACA JUGA: Jho Low Rancang Derma Puluhan Juta Kepada Kempen Politik Obama
Ujar Aminuddin, “Yang menyedihkan, beliau memberikan contoh kerajaan Cambodia mengadakan majlis iftar dan ada melantik menteri di kalangan bukan Islam.”
“Terus terang saya katakan kenyataan ini sangat mengejutkan dan tidak menyangka sama sekali ia boleh terkeluar dari mulut seorang pemimpin Melayu apatah lagi Perdana Menteri,” responnya terhadap ucapan PM.
“Apakah beliau lupa bahawa negara telah melantik pemimpin bangsa lain di dalam kabinet semenjak merdeka lagi? Malah, sampai jawatan-jawatan kementerian tertentu sudah jadi ‘kuota’ atau ‘tradisi’ buat wakil parti bukan Melayu dan Islam tertentu sejak berpuluhan tahun lamanya.”
“Malah di kawasan penduduk Melayu pun ramai bukan Islam menang sebagai wakil rakyat, dengan sokongan dan dokongan padu pemimpin-pemimpin politik Melayu… Dan walaupun individu tersebut sudah terbukti rasis dan anti Melayu Islam,” tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai iftar yang dianjurkan oleh Kerajaan Cambodia, Aminuddin berkata, bukankah Kerajaan Malaysia sudah lama meraikan perayaan agama dan kaum lain selain Islam dan Melayu? Atau apakah ianya tidak cukup sehinggakan selepas ini Kerajaan perlu menyambutnya di gereja, kuil dan tokong?
“Jadi di mana hujah yang memalitkan naratif ‘keangkuhan’ orang Melayu Islam? Apa motif sebenar PMX membuat kenyataan yang begitu menyinggungkan ini?”
Jika ini sikap dan pemikiran Kerajaan terhadap orang Melayu, katanya, masa depan Melayu sangat gelap malah mungkin akan terhapus secara hakiki walaupun orang Melayu masih wujud secara fizikal.
“Kita sudah terlalu, malah terlebih toleransi dah. Itu pun masih kena tohmah macam-macam. Aduhai, malangnya bangsaku,” kata Aminuddin Yahaya.